Buku Islam Dalam Politik dan Pendemokrasian di Indonesia tulisan Robert W Hefner diterbit oleh Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE). Foto IBDE
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Angkat nilai demokrasi selaras Islam, tolak fahaman konservatif

Walaupun 30 tahun diperintah secara kuku besi, Indonesia hari ini menyaksikan satu usaha cemerlang untuk membongkar kembali dan mengukuhkan budaya toleransi, kesetaraan dan kesusilaan.

Pejuang-pejuang Islam sivil memainkan peranan utama dalam kebangkitan ini.

Muslim sivil menolak mitos negara Islam. Namun mereka tidak pula menyisihkan Islam ke ruang peribadi semata-mata, sebaliknya menegaskan bahawa ada jalan tengah antara pemperibadian yang dibawa oleh liberalisme dan versi negara Islam bersifat pembuli yang diajukan golongan konservatif.

Jalan tengah itu berbentuk agama awam yang suaranya didengar menerusi pertubuhan mandiri, dialog terbuka dan teladan baik daripada golongan beragama.

Pastinya Islam yang demokratik dan sivil ini hanya masuk akal kita percaya bahawa Islam sejajar dengan nilai-nilai demokrasi, atau bahkan ia terbina di atas nilai-nilai berkenaan.

Tiada siapa jika dapat menafikan bahawa keyakinan ini melibatkan pentafsiran, dan Muslim konservatif berhak untuk menegaskan yang mereka tidak berkongsi keyakinan yang sama.

Seperti banyak pihak di Barat pada awal kurun ke-20, sebahagian daripada golongan konservatif hanya melihat segala peluang daripada negara moden tanpa melihat bahaya yang terdapat padanya.

Mereka mahu menggunakan kuasa negara untuk meranapkan tembok antara ruang awam dan ruang peribadi, serta memaksa warga dengan nilai baik.

Bagaimanapun, dengan berbuat demikian mereka mengkhianati prinsip yang dipegang teguh oleh golongan Muslim yang lain: bahawa agama mereka yang agung menegaskan tidak boleh ada paksaan dalam agama, serta kebebasan, kesetaraan, dan keadilan adalah antara nilai-nilai teras Islam.

Bagaimanapun, hanya sejumlah kecil Muslim Indonesia yang masih berpegang dengan konsep negara Islam.

Tidak dapat dinafikan wujudnya selisih pandangan yang besar dalam soal kadar perwakilan Muslim dalam kerajaan dan ekonomi.

Juga tidak dapat dinafikan yang sebahagian ahli politik akan menganjurkan semangat eksklusif di kalangan Muslim bagi menumpulkan usaha ke arah melahirkan politik Muslim yang inklusif.

Namun majoriti Muslim telah sedar yang pemahaman mereka terhadap perintah Tuhan akan lebih relevan jika mereka menjalinkannya dengan pentafsiran ke atas sejarah dan budaya Indonesia.

Majoriti juga mengambil pengajaran daripada tindakan-tindakan berlebihan Soeharto, iaitu bahawa sikap curiga yang kritis leluhur mereka terhadap negara masih relevan bagi politik zaman ini.

Dengan itu Muslim akhirnya menjadi sebahagian daripada dunia yang dikongsi bersama golongan lain, dan politik Muslim menjadi sebahagian daripada kemodenan yang majmuk.

Pembaharuan agama

Berlawanan dengan ramalan terdahulu, agama di zaman kita ini sama sekali tidak merosot atau disumbat ke dalam ruang peribadi. Dunia moden menyaksikan kebangkitan agama.

Pembaharuan agama tidak terhasil sebagai satu bentuk reaksi penentangan terhadap dunia moden, sebaliknya sebagai respons kreatif terhadapnya.

Malah beberapa pembaharuan agama yang paling berjaya berkembang subur dengan cara melibatkan diri dalam masyarakat massa dan berjarak daripada elit eksklusif.

Dengan terjun ke ruang awam secara begitu, sebahagian daripada agama yang telah diperbaharui bentuknya itu hanya mengerah orang ramai ke arah matlamat autoritarian.

Sebahagiannya pula menggantikan makna-makna yang pelbagai dengan slogan keagamaan yang tunggal.

Sepertimana Amerika di kurun ke-19 menyaksikan pergelutan merebut sokongan Protestant, dunia Muslim hari ini menyaksikan persaingan sengit untuk menentukan tafsiran dan kedudukan agama dalam masyarakat.

Memandangkan pembaharuan keagamaan secara besar-besaran telah berlaku, Muslim berdepan dengan pilihan yang sama seperti yang dihadapi semua penghuni dunia moden yang lain.

Pembentukan semula tradisi mereka berlaku dalam sebuah dunia yang sarat dengan penghijrahan, pembandaran, dan komunikasi yang menjadikan arus rentas budaya menyerap masuk melepasi sempadan negara.

Dalam persekitaran ini, tradisi yang menganggap dirinya sebagai pemegang tafsiran yang mutlak berdepan dengan dilema: bagaimana hendak terus mengekalkan pandangan alam dan penglibatan dalam masyarakat tetapi pada masa sama mengakui kepelbagaian di zaman ini.

Pilihan yang diambil oleh mana-mana masyarakat agama akan ditentukan bukan oleh kebenaran-kebenaran abadi sesebuah kitab, tetapi oleh pergelutan merebut pengaruh di kalangan penganut aliran-aliran pentafsiran Kalam Tuhan.

Dalam kes Muslim, kita tahu sebahagian kelompok mendakwa Kalam Tuhan menuntut agar sempadan yang memisahkan negara daripada masyarakat dirobohkan.

Bagi mereka, negara diperlukan untuk menjadikan rakyat baik. Namun pasaran, media, dan penghijrahan yang berlangsung di zaman kini menjadikan proses pembentukan negara Islam dalam bentuk sedemikian sesuatu yang sukar.

Orang boleh mencuba, tetapi mereka berulangkali gagal. Nilai-nilai baik akhirnya diganti dengan kemunafikan dan salah guna ajaran, dan agama sendiri akan terancam.

Pendekatan ini gagal kerana ia jauh menyimpang daripada kepelbagaian dan pergerakan zaman kita, dan kerana para penguasa yang tidak diimbangi kuasanya akhirnya akan menyalahgunakan kebenaran yang dirasakan sebagai hak mereka untuk mengawalnya.

Maka, bagi umat Islam penyatuan Islam dan negara akhirnya akan menyebabkan agama ditundukkan menurut kehendak negara.

Berdepan dengan bencana ini, sebahagian Muslim yang lain berpegang dengan gagasan-gagasan demokratik dan jenis Islam sivil tertentu untuk melindungi agama mereka yang agung dan mengekalkan kompas etika di tengah gelora zaman moden.

 

Petikan muka surat 316-320 buku Islam Dalam Politik dan Pendemokrasian di Indonesia, terjemahan Civil Islam: Muslims and Democratization in Indonesia tulisan Robert W Hefner. Ia boleh dibeli melalui bukuibde.com atau toko Rencana, Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya.


Pengarang :