Orang ramai membeli barangan barangan keperluan asas murah ketika program Jualan Ehsan Rahmah peringkat DUN Sementa di Dewan Serbaguna Dato Ahmad Razali, Klang pada 31 Disember 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Jualan murah barang dapur kembali temui orang ramai di tiga lokasi hari ini

SHAH ALAM, 15 JAN: Jualan Ehsan Rahmah (JER) kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) bagi tahun ini membuka tirainya di tiga lokasi terpilih hari ini.

Bermula 10 pagi, jualan barangan dapur murah diadakan di perkarangan Masjid Al-Falah (Meru), Pusat Khidmat DUN Kinrara dan Lot 6449 Jalan Kempas Batu 9 Bukit Kapar (Sementa).

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 setiap pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).

Pada 2 Januari, Pengurus Kanan Pemasarannya Md Fazir Abdul Latif berkata program jualan murah berkenaan dijadual berlangsung di lebih 1,800 lokasi seluruh negeri tahun ini.

Katanya, lokasi itu tidak termasuk dengan program jualan murah di beberapa cawangan pasaraya Segi Fresh pada hujung minggu.

Sebelum ini, PKPS menerima Anugerah Pengurusan Berkualiti 2023 berikutan kejayaan cemerlang termasuk pengendalian program JER.

Agensi itu turut diiktiraf Malaysia Book Records( MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar sempena Aidilfitri.

Lokasi terkini jualan murah boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan http://linktr.ee/myPKPS


Pengarang :