Orang ramai membeli barangan keperluan asas yang dijual murah berbanding harga pasaran ketika program Jualan Ehsan Rahmah DUN Sungai Tua di Padang Awam Batu Caves, Gombak pada 27 Disember 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

PKPS teruskan jualan murah barangan asas di lebih 1,800 lokasi tahun ini

SHAH ALAM, 2 JAN: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) meneruskan program Jualan Ehsan Rahmah (JER) di lebih 1,800 lokasi seluruh negeri pada tahun ini.

Pengurus kanan pemasarannya berkata lokasi tersebut tidak termasuk dengan program jualan murah barangan asas di beberapa cawangan pasar raya Segi fresh pada hujung minggu.

“Tahun ini kita sasar menjelajah lebih 1,800 lokasi. PKPS akan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDNKS) untuk anjur sekurang-kurangnya di empat lokasi setiap hari.

“Bagi memastikan lebih ramai rakyat terima mafaat, kita akan melibatkan lebih banyak cawangan pasar raya Segi Fresh untuk menjual produk PKPS dengan harga murah.

“Selain itu, wakil rakyat, penyelaras DUN atau ketua kampung juga boleh mohon anjur JER secara dalam talian. Kita akan maklumkan lebih lanjut proses permohonan ini,” kata Md Fazir Abdul Latif kepada Selangorkini.

Program tersebut dijadual bermula 15 Januari ini. JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 setiap pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).

Pada 22 September, EXCO Pertanian Ir Izham Hashim berkata Selangor membelanjakan subsidi berjumlah RM40 juta untuk melaksanakan jualan murah di hampir 2,850 lokasi yang memanfaatkan lebih 5 juta rakyat.

Selain menganjurkan jualan murah di lokasi terpilih setiap hari kecuali Jumaat dan cuti umum, PKPS turut menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Segi Fresh bagi memperluas capaian kepada penduduk setempat.

Sebelum ini, PKPS menerima Anugerah Pengurusan Berkualiti 2023 berikutan kejayaan cemerlang termasuk pengendalian program JER. Agensi itu turut diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar sempena Aidilfitri.

Mulai 2022, Kerajaan Negeri melancarkan program jualan murah, lanjutan Program Agro Prihatin Selangor yang diperkenal pada 2 Jun 2021 menerusi Pakej Kita Selangor 2.0. Ia bertujuan mengatasi lambakan hasil tani akibat pandemik Covid-19.

Program itu dijenamakan sebagai Jualan Prihatin Rakyat pada 28 Februari 2022. Pelaksanaannya dilanjutkan sehingga Julai 2022. Pada 30 Ogos 2022, ia diumumkan pula sebagai Jualan Ehsan Rakyat.

Ia kemudian ditukar kepada Jualan Ehsan Rahmah selepas PKPS bekerjasama dengan KPDNKS.


Pengarang :