Bomba Selangor menyelamatkan enam kanak-kanak berusia lingkungan dua hingga 11 tahun yang terperangkap dalam kebakaran sofa di satu unit Apartment Idaman, Jalan PJU 10/1, Damansara Damai, Petaling Jaya pada 12 Februari 2024. Foto Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor
AGENDANASIONAL

Ibu bapa di hospital, bomba selamat enam beradik terperangkap rumah terbakar

KUALA LUMPUR, 12 FEB: Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor menyelamatkan enam adik-beradik rakyat tempatan yang hampir menjadi korban, selepas terperangkap dalam kebakaran di sebuah rumah di Apartmen Idaman, Damansara Damai, Petaling Jaya, di sini, hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata kesemua kanak-kanak berusia lingkungan dua hingga 11 tahun itu, ditinggalkan dalam rumah berkunci kerana ibu bapa mereka pergi ke hospital untuk pemeriksaan kesihatan.

Beliau berkata bomba menerima panggilan kecemasan kejadian itu pada 11.15 pagi daripada orang awam dan menghantar sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Buloh dengan kekuatan tujuh pegawai serta anggota ke lokasi.

“Setibanya di lokasi anggota bomba terpaksa memotong jeriji besi pintu hadapan untuk masuk ke dalam rumah dan melihat ada api di bahagian sofa di ruang tamu.

“Pasukan segera memadamkan kebakaran dan mendapati terdapat enam kanak-kanak terdiri daripada empat perempuan dan dua lelaki kembar di dalam rumah itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kebakaran itu tidak melibatkan struktur bangunan dan berdasarkan maklumat awal kanak-kanak terbabit ditinggalkan di rumah, kerana ibu mereka membawa bapa mendapatkan rawatan penyakit jantung di hospital berdekatan.

“Kesemua  kanak-kanak berkenaan berada dalam keadaan selamat tanpa sebarang kecederaan dan punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.

— BERNAMA

Bomba Selangor menyelamatkan enam kanak-kanak berusia lingkungan dua hingga 11 tahun yang terperangkap dalam kebakaran sofa di satu unit Apartment Idaman, Jalan PJU 10/1, Damansara Damai, Petaling Jaya pada 12 Februari 2024. Foto Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia

Pengarang :