Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) melawat reruai CelcomDigi selepas merasmikan Pusat Konvensyen MPAJ dan menyaksikan pemeteraian MoU antara MPAJ dan CelcomDigi di Pusat Konvensyen MPAJ, Ampang Jaya pada 6 Februari 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MoU MPAJ-CelcomDigi wujud ekosistem bandar pintar, perluas 5G

AMPANG JAYA, 6 FEB: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama CelcomDigi Berhad (CelcomDigi) bagi pelaksanaan projek bandar pintar.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan kerjasama selama 10 tahun itu membolehkan kedua-dua pihak menyediakan perkhidmatan teknologi 5G di semua kawasan Hulu Kelang.

“Kerjasama ini bakal membina satu ekosistem bandar pintar yang akan meningkatkan kualiti hidup penduduk dan pertumbuhan perniagaan di kawasan ini.

“Saya harap kerjasama seperti ini diteruskan di bandar-bandar lain di Selangor selaras hasrat menuju Negeri Pintar 2025,” katanya berucap di Pusat Konvensyen MPAJ di sini hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) bergambar selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara MPAJ dan CelcomDigi di Pusat Konvensyen MPAJ, Ampang Jaya pada 6 Februari 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Terdahulu, beliau menyaksikan majlis menandatangani MoU tersebut antara Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi Datuk Idham Nawawi bersama Yang Dipertua MPAJ Dr Ani Ahmad.

Sementara itu, Idham berkata kerjasama sulung bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan akan mengubah Hulu Kelang sebagai daerah digital bersepadu dengan persekitaran mampan.

Menurutnya, CelcomDigi akan menerajui ‘sandbox’ yang menghimpunkan semua pihak berkaitan dalam penyelesaian bandar pintar seperti usahawan, pembekal teknologi dan pengeluar peranti.

“Kami bertekad untuk memanfaatkan usahasama ini dengan perkongsian teknologi tempatan dan global serta menjadi model contoh yang membawa manfaat kepada rakan kongsi lain,” katanya.


Pengarang :