Usahawan Hijrah bergambar bersama selepas menyertai program pemantapan perniagaan dalam era digitalisasi anjuran Hijrah di Hotel Summit, Subang Jaya pada 12 Oktober 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Khusus usahawan wanita, Hijrah tawar bantuan modal hingga RM50,000

SHAH ALAM, 28 MAC: Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) menawarkan bantuan modal sehingga RM50,000 kepada usahawan wanita negeri ini yang ingin berniaga kecil-kecilan.

Agensi itu memaklumkan di Facebook, pembiayaan di bawah skim Niaga Darul Ehsan (NaDi) itu boleh dipohon menerusi pautan https://mikrokredit.selangor.gov.my.

“Khusus untuk usahawan wanita di Selangor Darul Ehsan! Terbuka kepada wanita yang ingin memulakan perniagaan kecil-kecilan. Tawaran Skim Pembiayaan Niaga Darul Ehsan (NaDI) sehingga RM 50,000.

“Pemohon juga boleh mengimbas kod QR poster di bawah untuk memohon atau menghubungi cawangan Hijrah berdekatan untuk maklumat lanjut,” maklumnya di Facebook.

Selain skim NaDi, Hijrah turut menawarkan pelbagai jenis pembiayaan antaranya skim i-bisnes, skim i-Bermusim, skim Go Digital dan skim Zero To Hero.

Hijrah Selangor meletak sasaran untuk memberi pinjaman RM1 bilion kepada usahawan sempena sambutan ulang tahun kesembilan agensi itu pada tahun ini.

Pada 20 Mac, Ketua Pegawai Eksekutifnya Dato’ Mearia Hamzah berkata 88,653 pembiayaan diberi kepada 59,508 peminjam membabitkan keseluruhan berjumlah RM797 juta sejak 2015.

 


Pengarang :