Pelajar Madrasatul Quran Darussalamah (MQDS) di Setia Alam tekun menghafaz al-Quran pada 21 Mac 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Gugup pimpin tarawih, hafiz muda risau bacaan ‘sangkut’

Oleh ABDUL RAHIM SABRI

Bermacam berlegar-legar di fikiran. Takut lupa bacaan. Bimbang bacaan sangkut-sangkut. Semuanya berkecamuk saat pertama kali memimpin solat tarawih di khalayak umum.

Perasaan gementar makin memuncak sebaik sahaja Mohamad Azid Zafri Mohd Zuhir, 16, menjejak kaki ke surau Pangsapuri Semarak Setia Alam.

Namun, pelajar Madrasatul Quran Darussalamah (MQDS), Setia Alam yang hafal 13 juzuk menguatkan hati, demi menunaikan amanah yang terpikul di bahunya.

Muhammad Azid Zafri Muhammad Zuhir. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Sampai (ke surau) rasa gementar, rasa gugup. Dalam fikiran, asyik fikir sangkut (bacaan). Jadi, saya kena hadap semua itu,” katanya menjadi imam di situ selama 14 malam sepanjang Ramadan tahun ini secara bergilir dengan rakannya.

Bukan Azid sahaja berasa demikian. Rakan semadrasah Mohamad Nabil Fakhri Abdullah, 17, juga berdepan gejolak sama. Rasa kecamuk hanya reda sebaik berbuka puasa bersama jemaah sebelum menunaikan solat tarawih.

“Pada awal seram, gementar. Tapi oleh kerana saya pernah menjadi imam di sekolah, jadi (perlahan-lahan) kurang sikit rasa gugup,” katanya yang hafal 20 juzuk al-Quran.

Semua itu pernah dilalui Afiq Muhammad Safwan Mohamad, 18, pada tahun lalu. Namun, kegugupan bukan lagi masalah besar apabila masuk tahun kedua memimpin solat orang lebih dewasa.

Sedia awal

“Pada masa awal jadi imam tu, rasa guguplah, sebab baca al-Quran depan ramai orang, satu surah penuh. Rasa gugup sikitlah, gugup (penyebab) buat kita rasa tak lancar (bacaan).

Muhammad Nabil Fakhri Abdullah. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Kerana kita hendak mencari pengalaman, kita kena hadap sahajalah. Bila sudah jadi imam tahun kedua, mulanya pun ada gugup jugalah tetapi sekarang dapat kawal,” katanya kepada Selangorkini pada 21 Mac.

Berdasarkan pengalaman menjadi imam sepanjang 27 malam Ramadan selama dua tahun berturut-turut, beliau percaya terlalu memikirkan bacaan tidak lancar antara punca rasa gugup memuncak.

“Jadi saya membuat persediaan lebih awal untuk jadi imam. Lancarkan bacaan elok-elok (sebelum itu), baru jadi imam. Alhamdulillah bolehlah,” katanya yang hafal 25 juzuk al-Quran.

Lain halnya dengan Mohamad Al-Falah Mohamad Huzaifah yang baharu berusia 12 tahun. Meski jauh lebih muda, beliau langsung tidak gemuruh apabila bertugas sebagai imam tarawih.

“Lepas diumum jadi imam rasa terkejut. Bila jadi imam, rasa biasa-biasa sahaja,” kata pelajar yang hafal 11 juzuk al-Quran dan bergilir dengan rakan di Surau Baiduri di Setia Alam.

Menurut Pengetua MQDS Muhammad Amir Hadi Mohd Wahi, keempat-empat pelajar berkenaan antara 25 pilihan terbaik daripada 73 pelajar yang menyertai uji bakat untuk menjadi imam tarawih.

Afiq Muhammad Safwan Mohamad. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Pemilihan tersebut dijalankan bagi menyempurnakan penugasan meliputi 13 surau sekitar Setia Alam termasuk dua pelajar senior yang bertugas di Masjid At-Taqwa di Machang Kelantan.

“Uji bakat dibuat saya sendiri. Saya minta guru beri tumpuan kepada pengajaran di kelas. Saya senarai pendek 50 orang. Kemudian tapis lagi untuk mencari 25 pelajar terbaik,” katanya.

Pelajar tidak disyarat menghafal 30 juzuk untuk terpilih sebagai imam tetapi mereka sekurang-kurangnya perlu menghafal tiga juzuk dengan lancar dan sempurna.

Pelajar juga memiliki suara lunak dan mahir mengalun bacaan berlagu seperti tokoh imam di Makkah termasuk Imam Sudais serta berupaya membaca surah al-Fatihah dalam dua lagu berbeza.

“Ada intonasi berbeza kerana orang bersemangat solat tarawih sebab bacaan sedap didengar. Jadi pelajar perlu mahirkan bacaan. Ada kelainan daripada bacaan orang awam,” katanya.

Muhammad Amir juga tidak menggalakkan pelajarnya untuk membuka al-Quran sepanjang solat sunat itu berlangsung meskipun perbuatan sedemikian bukan suatu kesalahan.

Muhammad Al-Falah Muhammad Khuzaifa. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Sebaliknya, beliau berusaha untuk memenuhi undangan surau yang mahu seseorang yang hafiz untuk mengimami tarawih. Jemputan sedemikian mula diterima MQDS sejak 2016 lagi.

Dalam menyediakan perkhidmatan tersebut, pentadbiran madrasah tidak pernah menetapkan sebarang ketetapan bayaran sebaliknya menyerahkan urusan berkenaan kepada pengurusan surau.

“Saya jelaskan hal itu kepada pengerusi surau. Saya hendak pelajar berkhidmat untuk ummah dan masyarakat. Saya mahu mereka manfaatkan kebolehan bacaan al-Quran mereka. Itu paling penting.

“Kalau ada elaun dan sebagainya, itu bonus tetapi bukan keutamaan,” katanya sambil menambah pemberian sagu hati itu seratus peratus hak pelajar tanpa sedikitpun diambil pihak lain.

Muhammad Amir juga menjelaskan MQDS yang berdaftar bawah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) memberi kelebihan termasuk melayakkan pusat tahfiz itu menerima peruntukan dan sumbangan.

Bantuan tersebut meliputi kerja membaik pulih prasarana selain bantuan kewangan lain. Selain Jais, pusat tahfiz yang dinaungi Jais juga menerima bantuan daripada kerajaan persekutuan.

Pengetua Muhammad Amir Hadi Mohd Wahi. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Yang paling penting (daftar dengan Jais) soal keselamatan dan kewangan,” tegas beliau yang juga seorang hafiz sejak 2013.

Ramai penghafaz

Beliau yang sebelum ini mengaji di Jawa Timur, Indonesia dan Maahd Tahfiz Sungai Limau, Sabak Bernam juga memasang impian untuk melahirkan lebih ramai penghafaz al-Quran pada masa depan.

Justeru, pengurusan pusat tahfiz itu sepakat untuk membuka sebuah kompleks sekolah dan asrama di tanah seluas seekar di Kampung Batu Belah, Klang.

Pada masa ini, proses pemilikan tanah dan menukar status pertanian kepada pembangunan telahpun selesai, hanya menunggu kebenaran merancang daripada Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK).

“Pelan (bangunan) sudah siap, peguam kita ada. Cuma tunggu lampu hijau MBDK. Dari situ, kita akan bangunkan kompleks tahfiz. Saya harap tahun ini kita selesai proses dokumentasi.

“Tahun depan, kita boleh mula pembangunan sekolah tahfiz,” katanya yang menyasarkan pengambilan 300 pelajar apabila kompleks tahfiz itu siap terbina.

Pada masa ini, operasi MQDS meliputi empat rumah teres di Setia Alam yang boleh menampung maksimum 85 pelajar lelaki manakala 30 pelajar perempuan di Kampung Budiman, Meru.

MQDS menyediakan tiga saluran kepada penuntut untuk melanjutkan pengajian sama ada pengajian kitab (talaqqi) di pondok di Kelantan, Terengganu atau Sri Petaling, Kuala Lumpur.

Selain itu, pelajar juga boleh menyertai pakej Fast Track Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hasil kerjasama Jais dan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (Pitas).

Pelajar Madrasatul Quran Darussalamah (MQDS) di Setia Alam tekun menghafaz al-Quran pada 21 Mac 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
Pelajar Madrasatul Quran Darussalamah (MQDS) di Setia Alam tekun menghafaz al-Quran pada 21 Mac 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
Pelajar Madrasatul Quran Darussalamah (MQDS) di Setia Alam tekun menghafaz al-Quran pada 21 Mac 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
Pelajar Madrasatul Quran Darussalamah (MQDS) di Setia Alam tekun menghafaz al-Quran pada 21 Mac 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Pengarang :