AGENSISELANGOR

Planet Mahir tawar tuisyen dalam talian RM3 sehari, sasar 100,000 pelajar sertai

PETALING JAYA, 30 APRIL: Syarikat penyedia platform pendidikan digital Planet Mahir Sdn Bhd menawarkan perkhidmatan tuisyen dalam talian pada harga serendah RM3 sehari menerusi pakej “Anugerah Terindah” sempena ulang tahun kelima penubuhannya tahun ini.

Pengerusi Eksekutifnya Datuk Mohd Husni Salleh berkata pihaknya menyasarkan penyertaan 100,000 pelajar sekolah menengah untuk pakej itu yang memberi akses untuk mereka melayari “Video On Demand” (VOD) selama enam bulan bermula esok.

“Ini adalah sebahagian daripada inisiatif kami untuk membantu mereka yang kurang bernasib baik menerusi pendidikan kerana tidak semua mampu menyertai kelas tuisyen kerana ada yang mahal yurannya.

“Saya optimis Anugerah Terindah dapat membantu pelajar khususnya yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dengan hanya RM90 sebulan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Mohd Husni berkata pakej itu juga selari dengan komitmen mereka mahu memberikan akses pendidikan dengan kos berpatutan kepada semua lapisan masyarakat.

Planet Mahir yang ditubuhkan pada 2019 kini mempunyai 120 tenaga pengajar yang berdedikasi dalam berkongsi ilmu pengetahuan kepada pelajar.

Mereka yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai pakej itu boleh melayari www.planetmahir.com atau menerusi e-mel di [email protected].

Pada sidang media itu, Mohd Husni juga mengumumkan pelantikan personaliti Nizal Mohammad sebagai duta syarikat, mengambil kira pengaruh media sosial dan komitmen beliau terhadap kreativiti dapat meningkatkan inisiatif penciptaan kandungan dan advokasi platform Planet Mahir.

Nizal bekas wartawan dan pengacara pelbagai program televisyen popular seperti Malaysia Hari Ini, Al-Kuliyyah dan Jejak Rasul berkata beliau menggemari konsep kelas tuisyen yang ditawarkan Planet Mahir.

“Saya menyukai konsep tuisyen ini kerana berpandangan jauh. Sebelum ini, saya turut berhadapan dengan rakan-rakan yang mempunyai cabaran dari segi kos dan tempat tinggal yang jauh dari pusat tuisyen dan inisiatif Planet Mahir dapat menyelesaikan masalah itu,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :