Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan ucapan pada Jamuan Aidifitri Taman Seri (JPKK) Batang Kali di Balai raya Taman Seri Batang Kali pada 14 April 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Waspada fitnah menjelang PRK Kuala Kubu Bharu

HULU SELANGOR, 15 APRIL: Dato’ Menteri Besar menasihatkan penduduk di Kuala Kubu Bharu supaya tidak mempercayai fitnah dan propaganda buruk dibawa pihak lawan menjelang pilihan raya kecil (PRK) di kawasan tersebut nanti.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata menjelang PRK nanti, pelbagai tohmahan dan fitnah akan dimainkan pihak lawan demi mencapai hasrat masing-masing.

“Pada masa sekarang kita melihat data dan angka… jangan termakan permainan serta propaganda buruk. Kalau saya salah saya sedia minta maaf dan mengakuinya tetapi bukan fitnah.

“Negara tidak boleh dibangunkan dengan fitnah dan penipuan, begitu juga bangsa,” katanya berucap pada jamuan Aidilfitri di Balai Raya Taman Seri Batang Kali di sini, semalam.

Berikutan itu, Amirudin menyeru penduduk supaya menilai secara rasional dan bukan sekadar membaca serta mendengar.

“Tengok betul-betul… saya yakin akal orang Selangor sihat dan percaya dengan kebijaksanaan rakyat negeri ini,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRK DUN Kuala Kubu Bharu pada 11 Mei manakala penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 27 April dan 7 Mei.

Kerusi DUN Kuala Kubu Bharu kosong susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong pada 21 Mac lalu.

Lee, 58, yang menjadi wakil rakyat Kuala Kubu Bharu di bawah Parlimen Hulu Selangor sejak 2013 meninggal dunia selepas bergelut melawan kanser sejak beberapa tahun lepas.


Pengarang :