Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (tengah) meluangkan masa bertanya khabar kepada pengunjung ketika hadir ke Program Saringan Kesihatan di Dewan Orang Ramai, Kampung Orang Asli Tun Abdul Razak, Kuala Kubu Bharu pada 02 Mei 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Hospital Kuala Kubu Bharu bakal terima doktor pakar pelbagai bidang

HULU SELANGOR, 2 MEI: Kementerian Kesihatan berazam mempertingkatkan sistem perkhidmatan yang lebih baik di Hospital Kuala Kubu Bharu menerusi penambahan doktor pakar dalam pelbagai bidang.

Menterinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata pembinaan hospital baharu atau penambahan bangunan tidak menyelesaikan masalah utama rakyat yang memerlukan kemudahan perubatan terbaik.

“Apa yang lebih mustahak adalah perkhidmatan, ia perlu ditambah baik. Bagi saya hospital ini boleh dibina namun ianya hanya sia-sia jika kita tidak ada pakar di situ.

“Pada pendapat saya, sebenarnya yang diminta oleh rakyat bukan sahaja hospital tetapi perkhidmatan yang terbaik. Itu yang mereka mahukan,” katanya pada sidang media.

Terdahulu beliau melawat program saringan kesihatan bersama masyarakat Orang Asli di Dewan Orang Ramai Kampung Orang Asli Tun Abdul Razak di sini, hari ini.

Menurut Dzulkefly ketika ini Hospital Kuala Kubu Bharu sudah mempunyai seorang pakar perubatan am selain akan menempatkan seorang lagi doktor pakar di Unit Kecemasan dalam tempoh terdekat.

Susulan itu, katanya, Hospital Kuala Kubu Bharu kini menerima peningkatan kadar penggunaan katil sekali gus membuktikan hospital berkenaan mula mendapat kepercayaan masyarakat.

“Ia menunjukkan sudah ada keinginan dan kepercayaan warga di sini yang mula meyakini kerana sudah ada pakar dan tidak perlu lagi ke Hospital Selayang,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Dzulkefly menegaskan penambahbaikan yang dilaksana di Hospital Kuala Kubu Bharu bukan bersifat bermusim malah akan dibuat secara berperingkat di seluruh negara.

Menurut ahli Parlimen Kuala Selangor itu semua pemimpin bersetuju bahawa kemudahan perubatan rakyat tidak harus dipolitikkan kerana ia merupakan perkara asas manusia.

“Ini merupakan usaha berterusan. Untuk pembangunan di sini, ia sudah lama dirancang bukan hanya sebab ini (pilihan raya). Jangan politikkan isu kesihatan dan kita semua setuju kesihatan tidak perlu dipolitikkan,” katanya.

 


Pengarang :