AGENDANASIONAL

Kanak-kanak autistik ditemukan lemas di Sungai Skudai

JOHOR BAHRU, 2 MEI: Seorang kanak-kanak lelaki autistik berusia lima tahun ditemukan lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Skudai di Jalan Kampung Sepakat Baru, di sini, malam tadi.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Skudai Penolong Kanan Penguasa Bomba Saifulbahri Safar berkata mangsa ditemukan pada jarak 130 meter daripada lokasi kejadian pada 11.15 malam.

Beliau berkata tujuh anggota termasuk Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dengan dua jentera dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada 5.59 petang.

“Pasukan keluaran operasi melakukan pencarian di permukaan air di sepanjang tebing sungai, kira-kira 800 meter dari kawasan kejadian mangsa dilaporkan terjatuh.

“Anggota PPDA membuat selaman dan menemukan mangsa 130 meter dari lokasi kejadian dengan kedalaman air empat meter,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

– BERNAMA


Pengarang :