Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Mohamad Sabu menyampaikan ucapan pada Ceramah Mega Perpaduan PRK N06 Kuala Kubu Baharu di Bandar Utama Batang Kali pada 3 Mei 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Kerajaan tidak pinggir hak Melayu, peruntuk 50 ekar tanah di Bandar Malaysia

HULU SELANGOR, 4 MEI: Kerajaan Perpaduan tidak pernah meminggirkan hak orang Melayu seperti didakwa pembangkang dan pihak berkepentingan, kata Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH).

Datuk Seri Mohamad Sabu berkata perkara itu dibuktikan menerusi peruntukan 50 ekar tanah rizab Melayu di Bandar Malaysia oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Ya, mereka cakap kita tidak bela Melayu. Ramai yang tidak tahu, di tanah bekas lapangan terbang Sungai Besi itu perdana menteri minta peruntukan 50 ekar tanah rizab Melayu.

“Dalam mesyuarat itu saya tidak dengar pun Nga Kor Ming (Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan) bantah, atau Anthony Loke (Menteri Pengangkutan) bantah. Ada kerajaan sebelum ini buat?,” soalnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan ratusan hadirin pada ceramah Mega Perpaduan di Bandar Utama Batang Kali di sini, malam tadi.

Ceramah kempen sulung Kerajaan Perpaduan sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu (KKB) itu turut disertai barisan pimpinan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Barisan Nasional (BN) dan DAP.

Projek Bandar Malaysia di tapak lapangan terbang lama Pangkalan Udara Kuala Lumpur di Sungai Besi dirancang sejak 2017 dengan anggaran nilai pembangunan kasar RM140 bilion.

Membabitkan kawasan berkeluasan 197 hektar, ia akan menggunakan model pembangunan perkongsian awam-swasta bagi melaksana pembangunan bercampur berorientasikan transit.


Pengarang :