Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tiga, kanan) melihat sistem automasin bangunan selepas majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara STDC, KNX Associate dan Seiko Systec Sdn Bhd di Ibu Pejabat Steinel GmbH Herzebrock, Dortmund, Jerman pada 19 April 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Perubahan dasar negara, kestabilan tarik pelaburan ke Selangor

HULU SELANGOR, 4 MEI: Selangor menerima pelaburan RM2 bilion dari Phison, syarikat semikonduktor berpangkalan di luar negara hasil perubahan dasar dilakukan pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pelaksanaan Dasar Tenaga Negara dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 di samping kestabilan negeri, menarik minat pelabur mendarat di sini.

“Sebab perubahan dasar ini, Selangor baru tarik syarikat semikonduktor dengan tawaran RM2 bilion. Dalam tempoh empat bulan berbincang, dari Januari hingga April.

“Phison akan datang mendarat bawa industri semikonduktor hasil perubahan dasar dibuat persekutuan serta kestabilan Kerajaan Negeri,” katanya berucap di ceramah mega perpaduan di sini malam tadi.

Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) negeri itu berkata pentadbiran juga mampu mengawal sebarang isu berlaku termasuk bekalan ayam dan telur yang menjadi rungutan akibat kekurangan bekalan.

“Harga barang ada peningkatan? Ada tetapi dapat dikawal. Kita mulakan dengan bekalan. Dulu harga ayam, ikan tinggi tapi dapat dikawal Datuk Seri Mohamad Sabu (Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan). Bekalan ayam dan telur banyak.

“Selangor buat Jualan Ehsan Rahmah (JER) untuk pastikan bekalan sentiasa cukup. Sekarang JER dah dua tahun. Belanja RM50 juta, beri manfaat kepada lapan juta penduduk.

“Harga telur, ayam dikurangkan sampai sekarang. Dulu pentadbiran dan menteri sebelum ini tak ada buat,” katanya.

Menjelang Julai, Amirudin berkata negeri ini akan menamatkan sifar miskin tegar dengan memastikan kira-kira 800 keluarga dalam kategori berkenaan menerima Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas).

“Kuota skim ini ada antara 1,000 hingga 2,000 penerima lagi. Kita akan tambah 800 keluarga miskin tegar ini di samping bantuan zakat kerana lebih 500 perlu dibantu untuk kehidupan lebih baik,” katanya.


Pengarang :