Calon Kerajaan Perpaduan Pang Sock Tao berucap pada ceramah Mega Perpaduan PRK DUN Kuala Kubu Baharu di Bandar Utama Batang Kali pada 3 Mei 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Manifesto Kerajaan Perpaduan hasil kajian, maklum balas masyarakat, belia antara tumpuan

HULU SELANGOR, 4 MEI: Manifesto Kerajaan Perpaduan yang dibentangkan malam tadi, dihasilkan berdasarkan maklum balas diterima daripada penduduk setempat sejak awal kempen.

Calon Pang Sock Tao berkata beliau bersama pasukannya menjalankan kajian terperinci bagi memastikan setiap keperluan masyarakat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) dipenuhi.

“Manifesto ini adalah hasil maklum balas yang diterima daripada penduduk setempat. Ini juga merupakan hasil kajian saya dengan pasukan kempen.

“Sudah tentu pasukan kami optimis untuk mencapainya,” katanya ketika ditemui selepas membentang manifesto dalam Ceramah Mega Perpaduan di Bandar Utama Batang Kali di sini, malam tadi.

Calon Kerajaan Perpaduan Pang Sock Tao menunjukkan manifestonya pada ceramah Mega Perpaduan PRK DUN Kuala Kubu Baharu di Bandar Utama Batang Kali pada 3 Mei 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

Manifesto sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) KKB itu mengandungi lima teras iaitu ekonomi, kemudahan awam, alam sekitar dan rekreasi, warisan dan budaya, serta kesejahteraan rakyat.

Dalam pada itu, Sock Tao menambah manifesto berkenaan turut memberi tumpuan kepada golongan belia bagi memastikan KKB tidak kehilangan bakat muda untuk memajukan bandar warisan berkenaan.

“Untuk golongan belia, mereka amat dekat di hati saya kerana saya mahu beri peluang kepada mereka supaya mereka dapat capai impian dan membina keluarga di sini.

“Saya juga berharap warga muda KKB boleh terus duduk di sini tidak perlu berhijrah,” katanya.

Sock Tao, 31, berdepan saingan empat penjuru daripada calon Perikatan Nasional Khairul Azhari Saut, Hafizah Zainudin dari Parti Rakyat Malaysia serta calon bebas, Nyau Ke Xin.

PRK DUN KKB diadakan susulan kematian Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lalu akibat barah. Mendiang dipilih sebagai wakil rakyat kawasan itu sejak 2013.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN KKB pada 11 Mei ini dan hari pengundian awal 7 Mei dengan tempoh berkempen 14 hari.


Pengarang :