Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap pada ceramah Mega Perpaduan PRK Kuala Kubu Baharu di Bandar Utama Batang Kali, Hulu Selangor pada 3 Mei 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Kemenangan jadikan KKB terus membangun, penghubung dengan Kerajaan Negeri

HULU SELANGOR, 4 MEI: Kemenangan Pang Sock Tao pada pilihan raya kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu (KKB) 11 Mei ini akan membangunkan lagi kawasan berkenaan termasuk peningkatan jaringan pengangkutan serta keterhubungan digital.

Dato’ Menteri Besar berkata Sock Tao, 31, akan menjadi penghubung untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan terus dimajukan memandangkan prinsip dan pentadbiran daripada pihak sama.

“KKB akan lebih maju sebab kita datang dengan tawaran dan pelan. Tadi saya ke Hulu Bernam, kira-kira 30 kilometer dari sini. Syarikat bertapak di Perak, Lagenda mahu bergabung dengan agensi negeri tambah perumahan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika ceramah Mega Perpaduan PRK Kuala Kubu Baharu di Bandar Utama Batang Kali, Hulu Selangor pada 3 Mei 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Beberapa bulan lepas kerajaan luluskan peruntukan pembangunan di KKB. Dalam masa sama Kerajaan Persekutuan dan negeri lengkapkan penaiktarafan hospital KKB.

“Ini bukan janji PRK sebab Januari 2024 kita dah selesaikan untuk sistem gas dan pernafasan. Peruntukan dalam RM3 juta ke RM4 juta. Kalau kita nak tambah lagi, dengan pembangunan ECRL, di samping Rancangan Selangor Pertama, kita pilih calon yang jelas,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari pada ceramah mega perpaduan di sini malam tadi.

Melihat gerak kerja kempen seminggu ini, beliau yakin dan percaya calon diketengahkan Kerajaan Perpaduan adalah tepat untuk dipilih sebagai wakil rakyat.

Ia berdasarkan pemerhatian terhadap kehadiran orang ramai pada ceramah terbabit selain sambutan baik pengundi melibatkan semua bangsa terhadap aktiviti kempen Sock Tao.

“Program peringkat bawah, semua tempat ditelusuri, jumpa Melayu, Cina, India. Kita bawa mesej yang mahu satukan rakyat supaya tidak berpecah belah,” katanya.

PRK DUN KKB diadakan susulan kematian Kee Hiong, 58, akibat barah pada 21 Mac lalu.

Menyaksikan pertandingan empat penjuru, Sock Tao, 31, dicabar Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Hafizah Zainudin Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan Nyau Ke Xin (Bebas).

DUN tersebut memiliki 40,226 pengundi terdiri daripada 39,362 pengundi biasa, 625 anggota polis, 238 anggota tentera dan pasangan serta seorang tidak hadir luar negara.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRK KKB 11 Mei ini, hari pengundian awal 7 Mei dengan tempoh berkempen 14 hari.

Orang ramai mengikuti ceramah Mega Perpaduan PRK Kuala Kubu Baharu di Bandar Utama Batang Kali, Hulu Selangor pada 3 Mei 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Pengarang :