Pengerusi DAP Selangor Gobind Singh Deo menyampaikan ucapan pada Ceramah Mega Perpaduan PRK N06 Kuala Kubu Baharu di Bandar Utama Batang Kali pada 3 Mei 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

PRK KKB: Kerajaan Perpaduan tampil calon berkaliber, pastikan kestabilan politik

HULU SELANGOR, 4 MEI: Pakatan Harapan (HARAPAN) menampilkan calon berkaliber bagi memastikan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu (KKB) dipertahankan.

Pengerusi DAP negeri Gobind Singh Deo berkata Pang Sock Tao dipilih mewakili calon Kerajaan Perpaduan berikutan kebolehan dan kecemerlangannya dalam pelbagai bidang.

“Soal calon, kita sudah tunjukkan bahawa kita ada calon berkebolehan. Beliau rajin dan bekerja keras selain setiasa berusaha mengenalpasti dan menyelesaikan masalah rakyat.

“Sock Tao mampu bekerjasama dengan semua pihak. Kelayakan beliau dalam pendidikan juga luar biasa serta seorang yang aktif dan muda,” katanya pada Ceramah Mega Perpaduan di Bandar Utama Batang Kali di sini, malam tadi.

Sementara itu, Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Datuk Seri Mohamad Sabu menasihatkan pengundi memilih calon Kerajaan Perpaduan bagi memastikan kestabilan politik terus dipertahan.

Menurutnya kestabilan politik amat penting bagi memastikan negara terus berada di landasan terbaik bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Mohamad Sabu menyampaikan ucapan pada Ceramah Mega Perpaduan PRK N06 Kuala Kubu Baharu di Bandar Utama Batang Kali pada 3 Mei 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

“Kerajaan Perpaduan adalah untuk wujudkan kestabilan. Apabila stabil, akan berlaku perkembangan ekonomi dan orang datang melabur ke negara kita.

“Bila mereka masuk, kerajaan dapat wang dan semua itu akan dikembalikan kepada rakyat. Tapi bagaimana pelabur mahu masuk jika ada isu politik? Kalau nak tukar, tunggu pilihan raya,” katanya.

Sementara itu Penasihat Umno Selangor Tan Sri Muhammad Muhd Taib dalam ucapannya berharap pengundi dapat memberikan undi kemenangan kepada Sock Tao pada Pilihan Raya Kecil (PRK) KKB, 11 Mei ini.

Beliau yang juga bekas Menteri Besar Selangor sempat berkongsi kenangan manisnya ketika memenangi kerusi DUN Batang Kali selama empat penggal sejak 1982.

“Di Batang Kali, dua kali saya bertanding dan dua kali free (menang tanpa bertanding). Saya ucap terima kasih kepada pengundi Batang Kali dan KKB.

“Saya mahu kamu semua bawa semangat itu semua pada 11 mei dan bagi undi pada Sock Tao. Saya jumpa dia, kita ada satu calon yang sangat baik. Muda dan boleh kerja kuat,” katanya.

Orang ramai mengikuti ceramah Mega Perpaduan PRK N06 Kuala Kubu Baharu di Bandar Utama Batang Kali pada 3 Mei 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

Pengarang :