Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Letupan bom: Polis guna kenderaan perisai kawal sempadan

PASIR MAS, 4 MEI: Polis Kelantan menggunakan kenderaan berperisai AFV Commando V150 untuk memperketatkan kawalan keselamatan di sempadan Malaysia-Thailand susulan kejadian letupan bom dan tembakan di Pasemas, Wilayah Narathiwat, Thailand Isnin lalu.

Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata aset milik Pasukan Gerakan Am (PGA) itu memulakan rondaan sejak Khamis lalu di kawasan Pos Ular, Pos Pisau Raut, Pos Naga Ibu dan Kuala Jambu di Tumpat dengan seorang pegawai dan 13 anggota.

“Kenderaan digunakan ini jelas menunjukkan kita sentiasa peka terhadap apa jua insiden yang berlaku di sempadan,” katanya kepada pemberita selepas majlis Aidilfitri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas di sini.

Dalam pada itu Muhamad Zaki berkata pihaknya setakat ini belum menerima permohonan secara rasmi daripada polis Thailand bagi mendapatkan sebarang maklumat berhubung nombor pendaftaran kenderaan yang terbabit dalam insiden letupan bom tersebut.

Dalam kejadian 12.05 tengah malam pada 29 April lalu, empat anggota keselamatan Thailand cedera apabila terkena letupan bom yang dipercayai diletakkan penjenayah di Kampung Pasemas, Sungai Golok.

Sebelum ini Ketua Polis Daerah Sungai Golok Pol Col Jadsadavit Inprapan dilapor berkata hasil siasatan awal di tempat kejadian menemukan sebuah kenderaan sedan berwarna putih yang mempunyai nombor pendaftaran negara jiran.

– BERNAMA


Pengarang :