Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri Taklimat Pembangunan Negeri Kelantan di Kota Bharu, Kelantan 2 Mei, 2024. Foto SADIQ ASYRAF/PEJABAT PERDANA MENTERI
AGENDANASIONAL

Pembangunan semua negeri, Anwar galak Jepun, Qatar melabur di Kelantan

KOTA BHARU, 2 MEI: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau menggalakkan Jepun dan Qatar untuk menerokai pelaburan di Kelantan.

Anwar berkata sebagai pemimpin utama negara, beliau akan sentiasa berusaha sedaya upaya membantu membangunkan semua negeri di Malaysia.

“Walaupun saya tidak pernah mendapat mandat daripada Kerajaan Negeri Kelantan tetapi saya anggap ini tanggungjawab saya untuk sedaya upaya bantu rakyat… semasa lawatan saya ke Jepun dan Qatar sebelum ini, saya cadangkan kepada pemimpin negara terbabit supaya turut memilih Kelantan sebagai lokasi pelaburan selain negeri lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2024 di Pusat Transformasi Luar Bandar Tunjong di sini malam ini yang turut dihadiri Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu serta Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad.

Perdana Menteri juga berharap kerajaan negeri memudahkan proses perolehan tanah supaya industri pertanian dapat dikembangkan dalam skala besar di Kelantan.

— BERNAMA

 


Pengarang :