Setiausaha Agung Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia Syeikh Dr Ali Muhyiddin Ali al-Qaradaghi (tiga, kiri) mengaminkan doa selepas menunaikan solat Isyak pada Majlis Ilmu Selangor Madani di Dewan Megawati Kediaman Rasmi Menteri Besar, Seksyen 7, Shah Alam pada 16 November 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Sidang ketua agama sedunia, majlis ulama Asia Selasa dan Rabu

KUALA LUMPUR, 5 MEI: Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bersama Liga Dunia Islam, Arab Saudi akan menganjurkan Persidangan Ketua-Ketua Agama Sedunia 2024 dan Majlis Ulama Asia 2024.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dalam kenyataan berkata Persidangan Ketua-Ketua Agama Sedunia akan diadakan pada 7 Mei (Selasa) ini, 8 pagi hingga 5 petang di Sunway Resort Hotel, Petaling Jaya, Selangor.

Sementara Majlis Ulama Asia 2024 pula akan diadakan pada 8 Mei (Rabu) bermula 8 pagi hingga 2 petang di Hotel Mandarin Oriental di ibu negara.

“Persidangan ini adalah berkesinambungan daripada Persidangan Ulama Asia Tenggara 2022 pada 30 Jun 2022 yang lalu. Bahasa pengantar yang akan digunakan dalam persidangan ini ialah Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris,” katanya.

Beliau berkata ​objektif utama penganjuran kedua-dua program itu adalah untuk membangunkan wawasan tamadun bersama bagi menyatukan nilai kesederhanaan dan perpaduan, menangani ancaman pemikiran ekstremis dan mengubah konflik kepada persefahaman, kerjasama dan perpaduan.

Bertemakan ‘Kesatuan Dalam Kepelbagaian’, Mohd Na’im berkata Persidangan Ketua-Ketua Agama Sedunia dijangka dihadiri 1,500 peserta terdiri daripada para ulama, cendekiawan, pemimpin politik, ahli Parlimen, ahli akademik dan tokoh-tokoh pemimpin agama Islam dan bukan Islam tempatan serta dari lebih 50 negara luar.

“Objektif penganjuran Persidangan Ketua-Ketua Agama Sedunia adalah untuk memupuk semangat keharmonian dalam kalangan penganut pelbagai agama. Memupuk asas yang kukuh berpaksikan teras MADANI agar bersesuaian dengan realiti semasa masyarakat berbilang agama, agar masyarakat berinteraksi dengan harmoni bagi mengekalkan kerukunan dan perpaduan hidup bermasyarakat,” katanya.

Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual menyampaikan ucapan perasmian persidangan itu pada 12 tengah hari.

Orang ramai boleh menonton liputan penuh siaran langsung program itu di laman Facebook Jakim dan juga siaran langsung ucapan perdana menteri menerusi Radio Televisyen Malaysia TV1 dan TV Alhijrah, katanya.

Selain itu, Mohd Na’im berkata tema bagi persidangan Majlis Ulama Asia pula ialah ‘Perpaduan’ dan seramai 200 peserta dijangka mengambil bahagian dalam persidangan itu, terdiri daripada para ulama Islam dari negara-negara Asia.

“Objektif penganjuran Majlis Ulama Asia adalah untuk memupuk perpaduan dan nilai-nilai murni serta menghormati perbezaan pelbagai dimensi dari sudut berdasarkan teras Madani, teologi dan sosiologi.

“Nilai kesederhanaan dalam berhadapan dengan pelbagai fahaman dalam mazhab dan tidak menjadikannya sebagai ketakutan, kebencian atau konflik,” katanya.

Beliau berkata Majlis Penutup Majlis Ulama Asia akan disempurnakan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Semoga dengan penganjuran Persidangan Ketua-Ketua Agama Sedunia dan Majlis Ulama Asia ini akan mencapai matlamat yang ditetapkan serta dapat menerapkan mesej agenda Malaysia Madani dan Transformasi al-Falah ke arah memartabatkan Islam di mata dunia,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :