Calon Kerajaan Perpaduan Pang Sock Tao (kanan) ditemani Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh ketika program santai anak muda dan masyarakat Orang Asli Kampung Buluh Telur di Tapak Perkhemahan Betong Rimbayu Kuala Kubu Bharu pada 5 Mei 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Tingkat mutu prasarana sukan tumpuan calon Kerajaan Perpaduan

HULU SELANGOR, 5 MEI: Calon Kerajaan Perpaduan bagi pilihan raya kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu berazam memberi tumpuan meningkatkan mutu prasarana awam termasuk kemudahan sukan.

Memasuki hari kesembilan kempen hari ini, Pang Sock Tao berkata antara maklum balas paling banyak diterimanya ketika bertemu penduduk terutama belia adalah kemudahan sukan.

“Jadi ini akan menjadi antara tumpuan saya bagi memastikan penduduk di sini terutama golongan belia dapat menikmati akses kemudahan sukan dengan lebih baik dan lebih banyak.

“Mendiang (Lee Kee Hiong) menganjurkan banyak aktiviti di sini melibatkan pelbagai program berkaitan sukan dan kebudayaan jadi legasi itu akan saya teruskan sekiranya diberi mandat dalam pilihan raya ini,” katanya.

Beliau ditemui selepas program singgah dan salam sempena Pertandingan Silambam Piala Lee Kee Hiong 2024 di Dewan Serbaguna Kampung Chuang Rasa Kuala Kubu Bharu, di sini.

Terdahulu, Sock Tao meluangkan masa bersama kira-kira 30 anak muda Orang Asli Kampung Buluh Telur di Beting Rimbayu Campsite di sini.

Dalam jadual padatnya beliau turut meluangkan masa kira-kira 15 minit melawat keluarga mangsa lemas di Hospital Kuala Kubu Bharu, bertanya khabar serta menenangkan ahli keluarga terlibat.

Tragedi itu melibatkan seorang bapa bersama dua anaknya yang lemas ketika mandi di Sungai Balak, Batang Kali dekat sini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Wan Md Razali Wan Ismail berkata ketiga-tiga mangsa berjaya ditemui pada jam 1.35 tengah hari pada jarak kira-kira 30 meter dari lokasi mereka mandi.


Pengarang :