WhatsApp Bizz adalah pemudah cara kepada pelanggan untuk membuat semakan dan pertanyaan berkaitan dengan enam perkhidmatan utama di MBSJ. Foto MBSJ
PBTSELANGOR

WhatsApp Biz MBSJ bantu tingkat penyampaian perkhidmatan kepada komuniti

SHAH ALAM, 2 MEI: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama di Selangor yang melaksanakan perkhidmatan WhatsApp Biz MBSJ.

Datuk bandarnya memaklumkan WhatsApp Biz MBSJ menyediakan platform interaktif komunikasi secara langsung antara MBSJ dan komuniti bandar raya.

“MBSJ yakin melalui perkhidmatan yang dilancarkan pada 25 April lalu dapat membantu meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada komuniti bandar raya.

“Ia sekali gus memberikan impak positif kepada pengguna dari segi masa, tenaga, kewangan dan alam sekitar,” kata Mohd Fauzi Mohd Yatim pada mesyuarat penuh bulanan MBSJ baru-baru ini.

Mohd Fauzi menambah platform itu juga membantu pelanggan membuat semakan dan pertanyaan berkaitan dengan enam perkhidmatan utama.

“Perkhidmatan merangkumi cukai taksiran MBSJ, kompaun trafik MBSJ, lesen perniagaan dan permit berniaga, permit bangunan, saluran bayaran serta pembersihan.

“Para pengguna boleh menggunakan perkhidmatan ini di talian 03-8026 3100 pada bila-bila masa dalam tempoh 24 jam,” katanya.

 


Pengarang :