Dana TAWAS Diperolehi Melalui Wang Rizab Negeri

 

SHAH ALAM, 26 NOV: Tabung Warisan Anak Selangor (Tawas) memperolehi dana kewangan melalui peruntukan rizab simpanan negeri, peruntukkan tersebut akan disuntik ke dalam Tawas pada masa yang sesuai dari masa ke semasa.

Demikian menurut Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika menjawab pertanyaan Yap Ee Wah(Adun Sungai Pelek-BN) dalam persidangan Dewan Negeri Selangor(DNS) yang memasuki hari keenam hari ini.

“Masa lahir Kerajaan Negeri beri RM100 sahaja dan selepas itu Kerajaan Negeri akan gunakan wang rizab untuk tambah wang dalam akaun Tawas pada masa yang sesuai dan bila dia sambut hari jadi ke -18, dah boleh keluar masa Itu dia ada RM1,500.

Abdul Khalid menjelaskan lagi Tawas bukanlah sebuah tabung amanah pelaburan seperti mana Amanah Saham Selangor(ASAS) yang diwujudkan ketika era Adun Sungai Panjang, Dr Khir Toyo sebagai Menteri Besar.

“Mungkin masa itu Sungai Pelek belum jadi Adun lagi, tetapi boleh tanya rakan-rakan yang apa dah jadi pada ASAS, masa beli RM1 tapi masa jual cuma antara sepuluh sen hingga dua puluh sen kalau tak silap saya,” ujar Abdul Khalid.

Bagaimanapun skim pelaburan ASAS ketika itu menemui kegagalan dan bukan sahaja gagal menjana keuntungan, malah turut menyebabkan kerugian kepada pelabur skim tersebut.

Penjelasan Abdul Khalid ini menjelaskan kekeliruan berkenaan Laporan Ketua Audit Negara yang mana dilaporkan wujud ketidak seimbangan di dalam akaun Tawas.

Kekeliruan ini timbul kerana Tawas ditubuhkan bukan berasaskan kepada keuntungan. Oleh itu, Abdul Khalid akan menulis surat kepada Ketua Audit Negara bagi menjelaskan perkara ini.

Minggu lalu, ketika membentangkan Belanjawan 2013, Abdul Khalid berkata, Kerajaan Negeri akan memastikan agar rakyat Selangor dapat menikmati hasil simpanan rizab Negeri Selangor yang tinggi ketika ini.

Antaranya termasuklah peruntukkan Rm300 juta untuk pembinaan jambatan ketiga Klang, pembinaan Storm Water (RM100 juta), membaiki dan menaiktaraf sistem saliran (RM50 juta) dan membina Rumah Mampu Milik (RM50 juta).

Wang rizab Kerajaan Negeri ketika ini berjumlah lebih RM2.5 bilion merupakan jumlah simpanan tertinggi yang dimiliki oleh negeri-negeri seluruh negara.


Pengarang :