Sultan Selangor Saran Tingkat Pembangunan Desa

sultan-titah

SHAH ALAM, 28 JUN : Kerajaan Negeri disaran menekankan pembangunan di kawasan desa bagi meningkatkan pendapatan penduduk kampung selain mewujudkan nilai keempunyaan pada setiap program yang akan diperkenalkan.

Demikian saranan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam titah sempena Majlis Perasmian Persidangan Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor ke-13 di sini hari ini.

Titah baginda, pembangunan desa itu mestilah berlandaskan konsep pembangunan yang bersepadu dan mampan dengan penglibatan agensi kerajaan bagi menyelia pelaksanaan projek seterusnya membantu merangka bantuan kewangan yang diperlukan.

Baginda turut menasihatkan Kerajaan Negeri supaya merintis jalan bagi menggalakkan kemajuan di daerah atau kampung menggunakan aset serta tenaga penduduk yang tinggal di kawasan setempat.

“Ini bermakna, apabila pembangunan berkembang ke daerah-daerah luar bandar, anak-anak muda tidak perlu lagi mencari pekerjaan di bandar.

“Keadaan ini akan melegakan tekanan terhadap perbandaran, kos kehidupan, sistem pengangkutan dan prasarana bandar yang lain,” titah baginda.

Baginda bertitah, tumpuan juga harus diberikan kepada usaha untuk meningkatkan mutu dan produktiviti pertanian termasuk tanaman makanan, perikanan dan penternakan.

Titah baginda, peningkatan produktiviti ini diyakini akan dapat menambah pengeluaran hasil pertanian sekali gus mendorong kepada penurunan harga.

“Beta berharap sektor pertanian akan terus diperkasakan dengan konsep pertanian moden walaupun sektor ini hanya menyumbang pertumbuhan sebanyak satu perpuluhan dua (1.2%) pada tahun 2012 dan penyumbang terkecil Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri.

“Namun beta percaya fungsi dan peranan sektor pertanian di Selangor amat penting sebagai penyedia sumber makanan dan sumber bahan mentah kepada perusahaan asas tani serta sumber pendapatan golongan petani khususnya di kawasan luar bandar,” titah baginda.


Pengarang :