Jom Konvoi Ke Utara MPSJ Libatkan 130 Peserta

SUBANG JAYA, 25 APR : Seramai 130 peserta terlibat dalam program Jom Konvoi Ke Utara anjuran Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) selama lima hari bermula Jumaat ini hingga Selasa depan.

Yang Dipertua MPSJ, Datuk Asmawi Kasbi berkata, ia adalah program tahunan MPSJ bermula pada 2007 yang mana belia dan beliawanis terlibat adalah terdiri dari mereka berusia 18 hingga 33 tahun bermotosikal berkuasa di bawah 150 cc.

Menurutnya, program tersebut jelas landasan terbaik bagi golongan muda membentuk potensi diri yang cemerlang selain dapat membina jaringan sosial dengan lebih meluas.

“Program kali ke enam ini kita hadkan penyertaan hanya 130 orang dengan 119 belia dan 11 beliawanis supaya dapat mewujudkan suasana selasa bagi diri mereka yang terlibat. Ia akan banyak membantu ke arah menerapkan nilai-nilai murni, meningkatkan jati diri, sifat patriotik dan semangat keusahawanan kepada remaja melalui modul-modul disediakan.

“Ia juga menggalakkan remaja cenderung ke arah aktiviti dan amalan yang lebih sihat serta bermanfaat untuk diri, keluarga, bangsa dan negara selain mempromosikan aktiviti pelancongan di dalam negara. Menerusinya akan menghindarkan remaja daripada terlibat di dalam aktiviti tidak sihat seperti merempit, gangsterisme, vandalisme, dadah dan sebagainya,” katanya selepas majlis perasmian Jom Konvoi di sini hari ini.

Program Jom Konvoi kali ini adalah program anjuran bersama Kerajaan Negeri Selangor melalui Jawatankuasa Tetap Adat Melayu,

Belia dan Sukan serta Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam).

Program kali ini akan menjelajah negeri di Utara bermula di Subang Jaya ke Perak, Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan kembali ke Shah Alam.

Asmawi berkata, pelbagai aktiviti menarik telah dirancang di sepanjang program berlangsung yang mana ianya akan dipecahkan  kepada lima modul iaitu Belia Pembela Bangsa, Belia Cintai Alam Sekitar, Belia Cergas, Belia Madani dan Belia Prihatin.

“Antara aktiviti itu adalah bersama keluarga angkat, ceramah agama, program solat berjemaah, acara sukan, treasure hunt dan sebagainya.

“Program ini melibatkan kos keseluruhan kira-kira RM90,000 yang mana akan memberi banyak kebaikan kepada peserta,” katanya.


Pengarang :