Johan Tilawah Al-Quran Tekad Beri Cabaran Terbaik Di Peringkat Kebangsaan

KUALA SELANGOR, 17 MEI : Abdul Jalil Khair dan Shahrom Othman akan membawa cabaran Selangor dalam Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan yang akan diadakan di Johor bermula 4-7 Jun ini.

Johan Qari, Abdul Jalil berkata beliau akan bersungguh-sungguh dan beriltizam membawa cabaran Selangor ke Peringkat Kebangsaan nanti dan berusaha menyampaikan bacaan terbaik semasa Tilawah Al-Quran itu nanti.

“Syukur Alhamdulilah dengan kejayaan ini yang tidak disangka-sangka kerana ada lagi rakan-rakan saya lain yang lebih baik,ini rezeki yang Allah bagi kepada saya.

“Nasihat saya kepada remaja supaya terus mempelajari Al-Quran kerana ia adalah asas untuk kita semua sebelum kita belajar apa-apapun benda lain Al-Quran adalah asas dalam hidup kita walaupun kita pandai macam mana sekalipun,” katanya.

Beliau menjadi Johan dengan mendapat markah 84.67 peratus yang merupakan Johan Menunggu.

Sementara itu, Johan Qariah, Shahrom berkata beliau tidak menjangka akan kemenangan itu kerana sebelum ini beliau kurang sihat.

Beliau juga menyatakan akan memberikan terbaik dalam cabaran di peringkat Kebangsaan nanti dengan memperbaiki kelemahan yang ada dalam pembacaan Al-Quran.

“Ia pertama kali saya akan mewakili Selangor di Peringkat Kebangsaan,” katanya yang merupakan Guru KAFA di Sepang.

Wakil daerah Sepang itu memperolehi markah 77.67 peratus.

DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyampaikan hadiah kepada pemenang Tilawah Al-Quran dan juga para peserta ujian tilawah itu.

Kira-kira 3,000 masyarakat hadir dalam majlis penutup Tilawah itu yang diadakan di Masjid Ar-Raudhah, Tanjong Karang di sini.

Turut hadir Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Exco Selangor, Dr Yaakob Sapari, Dr Ahmad Yunus Hairi, Iskandar Abdul Samad, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Mohammed Khusrin Munawi dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Datuk Marzuki Hussin.

Seramai 20 orang peserta telah memperdengarkan bacaan di mana 18 orang adalah mewakili daerah masing dan dua orang Johan menunggu.

Masjid Jamek As-Samadiah Pelabuhan Klang memenangi tempat pertama bagi Pengurusan Masjid Terbaik 2011 bagi Kategori Daerah. Tempat kedua dimenangi oleh Masjid Jamek Hishamuddin Sabak Bernam.

Masjid As-Salam, Puchong Perdana dan Masjid As-Syariff Meru, Klang masing-masing memenangi tempat pertama dan kedua kategori Masjid Qariah.

Bagi hadiah pengurusan Masjid Terbaik 2011 masing-masing menerima hadiah sebanyak RM5,000 dan sijil penyertaan.

Manakala tempat kedua menerima hadiah sebanyak RM4,000 dan sijil penyertaan.

Khusrin dalam ucapannya berkata Pertandingan Surau Terbaik Negeri Selangor dijangkakan akan dilaksanakan pada bulan Oktober ini.

“Kita amat bertuah kerana buat pertama kalinya dalam sejarah JAIS, pertandingan masjid terbaik ini diadakan dua kali setahun bagi meningkatkan usaha masjid – masjid di Selangor mencapai KPI pengurusan masjid yang telah disasarkan,” katanya.


Pengarang :