Presiden Cuepacs, Adnan Mat. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Cuepacs mohon segerakan bayaran ganti cuti rehat kakitangan

KUALA LUMPUR, 6 FEB: Kerajaan diminta menyegerakan pemberian penebusan awal gantian cuti rehat (GCR) sebanyak 75 hari seperti diumumkan dalam Belanjawan 2020, kata presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs).

Berita Harian melaporkan, Adnan Mat berkata GCR adalah antara beberapa perkara yang dibentangkan dalam Belanjawan 2020 bagi perkhidmatan awam demi kebajikan anggotanya.

Katanya, GCR sepatutnya boleh dituntut pada 1 Januari lalu, tetapi sehingga kini tiada pekeliling oleh Jabatan Perkhidmatan Awam.

“Dalam Belanjawan 2020 dinyatakan bagi Perkhidmatan Awam kerajaan memperuntukkan GCR sebanyak 75 hari untuk ganjaran wang tunai bagi penjawat awam yang sudah berkhidmat sekurang-kurangnya 15 tahun.

“Kita merayu perkara ini dipercepatkan dan kita mendapat banyak pertanyaan mengenainya,” katanya semalam.

Terdahulu dalam satu kenyataan, Adnan menyatakan GCR adalah ganjaran wang tunai kepada anggota perkhidmatan awam yang tidak berpeluang menghabiskan cuti rehat disebabkan kepentingan perkhidmatan.

Ganjaran GCR ini hanya diberikan kepada Anggota Tetap (termasuk pegawai dalam tempoh percubaan) dan Anggota Sementara dalam Perkhidmatan Awam.

Oleh itu, CUEPACS menuntut hak supaya pekeliling berkenaan GCR dikeluarkan selaras dengan pembentangan Belanjawan 2020 oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pada 11 Oktober tahun lalu.


Pengarang :