Anggota polis dan tentera membuat sekatan jalan raya di Jalan Ampang pada 5 April 2020 susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengawal penularan wabak Covid-19. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Bantuan kepada penduduk Hulu Selangor ditingkatkan

SHAH ALAM, 12 APRIL: Bantuan kepada penduduk yang terjejas di Hulu Selangor ditingkatkan susulan daerah itu diisytiharkan zon merah Covid-19, kata Ahli Parlimennya.

June Leow berkata tumpuan adalah kepada keluarga yang hilang punca pendapatan dan yang terputus bekalan makanan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kami tidak henti-henti menyalurkan bantuan makanan dan barangan keperluan lain dengan keluar masuk ke kampung-kampung dan taman perumahan. Misalnya hari ini saya masuk ke kawasan kampung di Hulu Bernam. Kita akan sentiasa bantu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Kelmarin, Hulu Selangor diletakkan sebagai kawasan zon merah Covid-19 selepas mencatatkan lebih 41 kes positif manakala data dikeluarkan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) setakat 12 tengah hari semalam meningkat kepada 45 kes.

Dalam pada itu, Leow berkata sebaik Hulu Selangor diisytiharkan zon merah, pihaknya melalui agensi berkaitan segera meningkatkan nasihat kepada penduduk supaya jangan selalu keluar dan elak daripada berkumpul.

“Saya juga mencadangkan supaya anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia ditempatkan di setiap taman dan kampung bagi mengawal aktiviti keluar masuk, kita tak mahu terlalu ramai orang keluar pada satu masa,” katanya.


Pengarang :