Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor membuat pemeriksaan di kedai runcit bagi memastikan barangan keperluan asas mencukupi. Foto ihsan KPDNHEP Selangor
AGENDANASIONAL

PKP: Skim Harga Maksimum bendung kenaikan harga barang

SHAH ALAM, 12 APRIL: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) diarah melaksanakan Skim Harga Maksimum bermula fasa ketiga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), bagi membendung kenaikan harga barang keperluan.

Menteri Kanan (kluster keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata senarai barangan serta produk yang tertakluk di bawah skim tersebut akan ditentukan KPDNHEP dalam masa terdekat.

“Biasanya Skim Harga Maksimum dilaksanakan pada musim perayaan, tetapi kita putuskan tak perlu tunggu, masuk saja fasa ketiga ini mesti dilaksanakan. Ini bagi memastikan tiada kenaikan harga barang,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Ismail Sabri berkata, sejak 18 Mac lalu KPDNHEP menerima 8,145 aduan dan pertanyaan berkaitan bekalan dan harga melalui empat saluran utama iaitu aplikasi WhatsApp, Sistem E-Aduan, talian Hotline dan Enforcement Command Center.

KPDNHEP, katanya, sentiasa memantau bekalan barangan keperluan harian sepanjang PKP, khususnya menentukan tahap keberadaan 25 jenis barangan pilihan utama pengguna di pasaran.

“Semalam pemantauan khas dilaksanakan melalui 1,205 pemeriksaan melibatkan peniaga di peringkat peruncit, pemborong dan pengilang.

“Hampir semua barangan keperluan asas berada pada tahap stabil, di mana kedudukan keberadaan bekalan mencukupi termasuk topeng muka dan cecair pembasmi kuman,” katanya.

Beliau berkata, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan juga memaklumkan bekalan basah dan kering terutama beras lebih daripada mencukupi dan pengguna diminta tidak membuat pembelian panik.


Pengarang :