Petugas kesihatan menunjukkan sampel ujian saringan Covid-19 yang dibuat melalui kaedah pandu lalu di Dewan Raja Muda Musa, Seksyen 7, Shah Alam pada 20 April lalu. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Misi KKM kekal sifar jangkitan tempatan Covid-19 untuk 28 hari

PUTRAJAYA, 2 JULAI: Misi Kementerian Kesihatan (KKM) ketika ini mengekalkan sifar jangkitan tempatan Covid-19 untuk tempoh 28 hari akan datang, kata Ketua Pengarahnya Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata semalam adalah permulaan hebat untuk Malaysia kerana tiada kes jangkitan tempatan dikesan dan satu kes positif yang dicatat membabitkan seorang rakyat Malaysia berusia 21 tahun yang kembali ke tanah air dari Turki.

“Hari ini adalah satu permulaan yang baik kerana kita mempunyai sifar jangkitan tempatan. Bagaimanapun, apa yang lebih penting ialah mengekalkan keadaan sifar jangkitan ini untuk tempoh 28 hari akan datang,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Beliau berkata KKM yakin mampu mencapai sifar jangkitan tempatan untuk tempoh 28 hari akan datang berdasarkan sokongan yang dipamerkan orang ramai dalam mematuhi tatacara operasi piawai (SOP).

Dr Noor Hisham berkata demikian ketika ditanya sama ada Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) akan dilanjutkan atau ditamatkan lebih awal memandangkan sekolah akan dibuka semula pada 15 Julai.

Beliau berkata hasrat KKM menerusi PKPP ialah membuka semua sektor terutama pendidikan dan memantau rapat jangkitan tempatan, oleh itu kementerian akan terus memantau sekolah dan kes-kes di bawah pengawasan serta akan menutup mana-mana fasiliti jika terdapat sebarang penularan dikesan dan mengambil tindakan lanjut dari segi penyaringan.

Katanya KKM akan meneliti semua jalan dan menambah baik serta meningkatkan kapasiti pengesanan.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata terdapat tiga aspek yang dilakukan kementerian ketika ini iaitu menjalankan pengawasan saringan bagi pesakit seperti influenza (ILI) serta kes-kes Jangkitan Pernafasan Akut yang Teruk (SARS) dan ujian prapembedahan.

Ditanya mengenai antivirus Remdesivir, Dr Noor Hisham berkata ketika ini, Malaysia tidak mempunyai bilangan pesakit yang mencukupi untuk dimasukkan di bawah ujian klinikal antarabangsa iaitu Percubaan Solidariti Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

Beliau berkata sejumlah 100 pesakit diperuntuk namun Malaysia hanya mempunyai sembilan pesakit di bawah percubaan itu.

“Kami masih memantau rapat (percubaan itu) dari segi keberkesanannya. Meneliti keadaan sama ada kita memerlukan ubat itu ketika ini. Jika kes semakin berkurangan, mungkin (kita boleh mempunyai) pilihan lain,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :