AGENDANASIONAL

Pengecualian cukai tingkat jualan Perodua tiga kali ganda

KUALA LUMPUR, 2 JULAI: Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) berjaya menjual 21,250 kereta pada Jun, angka jualan bulanan tertinggi yang dicatatkannya tahun ini dan menghampiri tiga kali ganda daripada bulan sebelumnya berikutan pengecualian cukai jualan yang diumumkan kerajaan.

Langkah pengecualian pada 5 Jun itu bertujuan meningkatkan penjualan kereta di tengah-tengah pandemik Covid-19.

Jualan pengeluar kereta itu sehingga kini mencatatkan kira-kira 74,000 unit.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata pengecualian cukai jualan itu menawarkan banyak faedah dan dalam kes Perodua, pembeli boleh menikmati pengurangan harga kenderaan di antara tiga dan enam peratus sehingga akhir 2020.

“Peningkatan jumlah yang agak besar hasil langkah tersebut membolehkan kami membantu ekosistem pembekal dan peniaga pada masa ini. Kami membeli komponen tempatan bernilai hampir RM500 juta pada Jun,” katanya dalam kenyataan semalam.

Menurutnya operasi Perodua pada masa ini adalah pada kapasiti penuh dan bekerja secara lebih masa dengan maksimum.

“Kami bekerja keras untuk memastikan pelanggan menerima kereta mereka secepat mungkin tanpa sebarang kompromi terhadap keselamatan dan kualiti,” katanya.

Zainal Abidin berkata Perodua turut melanjutkan operasi perniagaannya di beberapa pusat servis terpilih dan hab badan dan catnya di seluruh negara.

“Pelanggan yang berhasrat menyelenggara kenderaan mereka dinasihat membuat janji temu dengan pusat servis pilihan,” katanya.

Beliau berkata Perodua bersyukur kerana mampu meningkatkan kembali kekuatan seumpama itu dalam tempoh hanya dua bulan selepas menyambung semula operasinya di seluruh negara.

“Unjuran kami adalah positif dan kami berharap momentum ini akan berterusan dan membantu pertumbuhan industri.

Beliau berkata Perodua turut mengulangi komitmennya kepada kerajaan sebagai pengeluar kereta terbesar di Malaysia dari segi jumlah untuk membantu industri dan ekosistem termasuk mengekalkan pekerjaan agar industri dapat mengharungi tempoh yang mencabar ini.

Perodua menjual 8,601 kereta pada Mac sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa pada 18 Mac yang menyebabkan operasinya di seluruh negara ditutup selama dua bulan.

Pengeluar kereta itu memulakan semula perkhidmatannya secara rasmi pada 19 Mei dan berjaya menjual 7,886 kereta menjelang akhir bulan.

-BERNAMA


Pengarang :