EXCO Pemodenan Pertanian Ir Izham Hashim bercakap ketika Forum Rancangan Selangor Pertama (Ekonomi) 2021-2025 di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam pada 7 Julai 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

98 kolam dan tasik dimanfaat kawal air banjir, kegunaan ketika kemarau

SHAH ALAM, 24 OGOS: Kerajaan Negeri berhasrat memanfaatkan 98 kolam dan tasik di seluruh Selangor dengan membuat sistem penyambungan bagi mengawal air banjir.

EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim berkata setakat ini pihaknya melalui Lembaga Air Urus Selangor (LUAS) telah meluluskan 21 kolam buat peringkat awal bagi kerja penyambungan ke sistem rangkaian.

“Secara keseluruhan terdapat 98 kolam dan tasik di mana kita akan manfaatkan dan sambung secara berperingkat ke sistem sungai bagi mengawal air banjir serta penggunaan ketika kemarau.

“Katakan dijangka hujan lebat akan datang, kolam itu akan menampung air hujan dari mengalir ke sungai dan kalau kita perlukan ketika kemarau ia boleh digunakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media rancangan Kerajaan Negeri bagi mengatasi masalah banjir di Bangunan Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah di sini semalam.

Izham berkata secara keseluruhan semua kolam itu dapat menampung 34 juta meter padu iaitu jumlah mencukupi untuk membekal keperluan jika berlaku kemarau.

“Kolam-kolam ini sahaja dapat membekalkan air sehingga 2,000 juta liter sehari bagi tempoh sebulan. Ini tidak termasuk empangan sedia ada.

“98 kolam, tasik ini adalah baru maksudnya dah lama ada tetapi tidak dimanfaatkan,” katanya.


Pengarang :