Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) bergambar bersama veteran tentera selepas menyampaikan sumbangan sempena hari kemerdekaan ke- 65 di Taman Jasa Utama, Gombak pada 31 Ogos 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Veteran tentera terharu terima bantuan, pesan hargai nikmat merdeka

GOMBAK, 31 OGOS: Seramai tujuh veteran tentera di Kampung Sungai Tua di sini menerima cenderamata dan sumbangan barangan keperluan asas daripada Dato’ Menteri Besar menerusi Siri Jelajah Kasih Semarak Merdeka, hari ini.

Pesara tentera Amir Sutan Habib Mohamad, 76, terharu dengan kunjungan Dato’ Seri Amirudin Shari dan berterima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana menghargai jasa dan pengorbanan mereka yang pernah menjaga keselamatan negara.

Pesara Tentera, Amir Sutan Habib Mohamad, 76

“Kami bukan minta dihargai atau disanjung, cuma kami berharap nasib kami lebih terbela.

“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri yang prihatin dan sudi menjenguk dan mengambil berat keadaan kami,” katanya yang kini menderita penyakit buah pinggang.

Sementara itu, Veteran tentera komando Nordin Hashim, 74, berpesan kepada rakyat khususnya golongan muda untuk terus mengekalkan keharmonian antara kaum dan sentiasa bersyukur dengan nikmat hidup dalam sebuah negara yang merdeka.

Pesara Tentera, Nordin Hashim, 74

Beliau berkata Malaysia banyak berubah selepas mencapai kemerdekaan pada 1957 dengan pembangunan dan ekonomi yang semakin pesat.

“Bersyukur dengan apa yang kita sudah kecapi kerana tidak semua rakyat dan negara lain memilikinya.

“Jadi, hargailah nikmat merdeka ini. Jangan sampai ia tergadai kepada pihak yang berkepentingan,” katanya
yang pernah bertugas menjaga keselamatan negara pada 1960-an.

 


Pengarang :