Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika program Jasamu Dikenang Sempena Hari Kemerdekaan yang ke- 65 di Balai Penghulu Mukim Batu, Gombak pada 31 Ogos 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Skim perlindungan hayat bukti Kerajaan Negeri prihatin nasib rakyat

GOMBAK, 31 OGOS: Skim Insurans Hayat Selangor (INSAN) yang bakal melindungi enam juta individu merupakan bukti keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap nasib rakyatnya.

Menurut Dato’ Menteri Besar, Selangor dipercayai menjadi negeri pertama di Malaysia yang memberikan perlindungan keselamatan kepada penduduknya tanpa mengira latar belakang.

“Kerajaan ini saya kira kerajaan pertama di Malaysia yang berupaya melindungi nyawa dan hayat rakyatnya.

“Kalau ada kemalangan, kematian, atau kehilangan pancaindera akan ada pembayaran dengan pencaruman yang sudah dibayar,” katanya pada Program Jasamu Dikenang Sempena Hari Kemerdekaan di Mukim Batu di sini, hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) menyanyikan lagu ‘Jalur Gemilang’ bersama tetamu yang hadir ketika program Jasamu Dikenang Sempena Hari Kemerdekaan ke- 65 di Balai Penghulu Mukim Batu, Gombak pada 31 Ogos 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Terdahulu Dato’ Seri Amirudin Shari meluangkan masa menghadiri beberapa program kemerdekaan termasuk menziarahi pesara anggota keselamatan sekitar Gombak dengan berkonvoi menaiki motosikal bersama isterinya Datin Seri Masdiana Muhamad

Semalam, beliau mengumumkan enam juta rakyat Selangor bakal menerima perlindungan insurans am berkumpulan dengan kos premium ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri.

Menerusi INSAN, setiap individu akan menerima perlindungan RM10,000 untuk kematian, kemalangan dan kecederaan mengikut jenis.

Inisiatif itu akan ditawarkan kepada penduduk berusia 30 hari ke 80 tahun, dengan perlu memenuhi salah satu daripada dua syarat iaitu lahir di Selangor atau menjadi pengundi di Selangor.

Skim dengan nilai perlindungan RM60 bilion itu boleh didaftar mulai 1 Oktober ini.


Pengarang :