Medan Selera Batu Laut MPKL, Kuala Langat pada 20 September 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Medan selera pusat peranginan dinasihat terus jaga kebersihan

KUALA LANGAT, 20 SEPT: Pengusaha medan selera di pusat peranginan sekitar daerah ini dinasihat terus menjaga kebersihan premis dan makanan bagi menggamit lebih ramai pengunjung.

EXCO Pembangunan Luar Bandar dan Tradisi Borhan Aman Shah berkata selain kelazatan makanan, aspek kebersihan menjadi keutamaan pelancong tempatan mahupun luar.

EXCO Pembangunan Luar Bandar dan Kampung Tradisi dan Adat Istiadat Melayu, Kebudayaan dan Warisan, Borhan Aman Shah

“Alhamdulillah, saya percaya Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) sendiri telah memberi penekanan kepada peniaga supaya mereka mengambil berat soal kebersihan.

“Kita tahu peniaga di medan selera daerah ini mempunyai identiti dan cara masakan tersendiri. Apabila kebersihan serta keenakan juadah diseimbangkan sudah tentu dapat menarik pelancong sama ada dalam atau luar,” katanya.

Beliau ditemui selepas majlis penjurian akhir pertandingan Anugerah Medan Selera Bersih, Selamat dan Sihat peringkat kebangsaan 2022 di Medan Selera Pantai Batu Laut, Tanjong Sepat di sini hari ini.

Hadir sama Yang Dipertua MPKL Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim serta Ketua Penolong Pengarah Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor Noor Eliza Mat Radzi.

Terdahulu, 11 gerai makanan di medan selera terbabit dinilai lima juri dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam pertandingan akhir kategori A dengan keputusan dijangka diumum pada November.

Dalam pada itu, Borhan yang juga Ahli Dewan Negeri Tanjung Sepat berkata medan selera yang baharu beroperasi pada 2020 terpilih dalam penjurian akhir buat kali kedua.

“Penganjuran pertandingan ini membuktikan usaha peniaga dihargai dan menjadi pembakar semangat bagi mengekalkan keceriaan di premis masing-masing termasuk menyediakan makanan selamat serta sihat.

“Peniaga diminta terus patuh tatacara pengendalian premis oleh KKM selain syarat pelesenan bagi mengelak dikenakan notis pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya.


Pengarang :