EXCO Pembangunan Luar Bandar dan Kampung Tradisi dan Adat Istiadat Melayu, Kebudayaan dan Warisan, Borhan Aman Shah berucap ketika penjurian akhir pertandingan Anugerah Medan Selera Peringkat Kebangsaan di Medan Selera Batu Laut MPKL, Kuala Langat pada 20 September 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pembangunan Selangor Selatan pacu identiti Kuala Langat

KUALA LANGAT, 20 SEPT: Projek Wilayah Pembangunan Bersepadu Selangor Selatan (IDRISS) yang dianggar bernilai RM1 trilion bakal memacu identiti daerah ini yang memiliki pelbagai keunikan.

EXCO pembangunan luar bandar dan kampung tradisi berkata Kuala Langat mempunyai banyak kampung tradisi yang kekal hingga kini selain variasi makanan unik serta produk pelancongan.

“Selepas ini Kuala Langat tidak akan terpisah daripada pembangunan dasyat, jadi kita mahu limpahan pembangunan yang dirancang Kerajaan Negeri dapat dirasai semua lapisan masyarakat.

“Pada masa sama, identiti daerah ini terus dikekalkan dan MPKL (Majlis Perbandaran Kuala Langat) akan pastikan tempat pelancongan juga tidak tercicir daripada pembangunan IDRISS,” kata Borhan Aman Shah.

Beliau ditemui selepas majlis penjurian akhir pertandingan Anugerah Medan Selera Bersih, Selamat dan Sihat peringkat kebangsaan 2022 di Medan Selera Pantai Batu Laut, Tanjong Sepat di sini hari ini.

Hadir sama Yang Dipertua MPKL Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim serta Ketua Penolong Pengarah Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor Noor Eliza Mat Radzi.

Sementara itu, Amirul Azizan berkata daerah berkenaan bakal menerima limpahan kemakmuran hasil perancangan mewujudkan pelabuhan ketiga di Pulau Carey dan IDRISS membabitkan rancangan 10 projek mega.

Malah, beliau yakin pembangunan itu mampu menarik lebih ramai pengunjung ke daerah terbabit pada masa depan bertepatan dengan slogan ‘Singgah Kuala Langat’.

“Kita mempunyai Pantai Batu Laut yang menawarkan keunikan tempatan untuk diterokai seperti makanan tradisi tempatan nasi ambeng, pecal, mi udang, kerepek dan perusahaan kopi kampung.

“Lokasinya yang juga satu laluan dengan kawasan tarikan pelancong lain seperti Pantai Morib, Pantai Kelanang dan Pantai Cunang,” katanya.

IDRISS yang terkandung dalam kerangka pembangunan negeri Rancangan Selangor Pertama (RS-1) bakal memberi tempias ekonomi kepada Sepang dan Kuala Langat sekali gus memastikan pengagihan saksama bagi aktiviti ekonomi di negeri ini.


Pengarang :