Foto arkib SelangorKini
AGENDAJENAYAH

Budak dua tahun mati selepas ditemukan dalam takungan kumbahan

KOTA BHARU, 23 MAC: Kanak-kanak lelaki berusia dua tahun yang dijumpai di dalam takungan air kumbahan di Ketereh di sini semalam disahkan meninggal dunia selepas dibawa ke Klinik Kesihatan Kok Lanas.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu ACP Mohd Rosdi Daud berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian pada 5.25 petang semalam.

Katanya terdahulu bapa tiri mangsa dan isterinya menyedari ketiadaan kanak-kanak itu di rumah kedai mereka di Jalan Kuala Krai-Kok Lanas pada 2.25 petang.

“Mangsa kemudian dijumpai oleh keluarga dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam takungan air kumbahan di bahagian belakang rumah kedai itu.

Mangsa dibawa ke Klinik Kesihatan Kok Lanas dan pegawai perubatan bertugas mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd Rosdi berkata mayat kanak-kanak itu dibawa ke Unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ) untuk tujuan bedah siasat dan pemeriksaan.

“Hasil bedah siasat mendapati sebab kematian adalah ‘drowning’ (lemas air) selain tiada sebarang kecederaan pada tubuh badan simati,” katanya.

Katanya mayat kanak-kanak itu diserahkan kepada keluarga bagi urusan pengebumian dan kes diklasifikasikan mati mengejut.

– BERNAMA


Pengarang :