Ahli Dewan Negeri (ADN) Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin membantu warga emas menggunakan mesin layan diri makanan khusus untuk B40 ketika melancarkan mesin tersebut di Rumah Pangsa Kayu Ara, Petaling Jaya pada 27 Mac 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Mesin layan diri B40 mudahkan ibu tunggal dapat bantuan makanan

Oleh DIANA ABD WAHAB

PETALING JAYA, 28 MAC: Seorang ibu tunggal bersyukur dan lega dengan adanya mesin layan diri (vending machine) yang menyediakan bantuan makanan dan penjagaan diri di bawah rumah pangsanya.

Jubaidah Tarmidi, 61, berkata inisiatif yang digerakkan Ahli Dewan Negeri (ADN) Bandar Utama memudahkan urusan dan meringankan beban ditanggung lantaran peningkatan kos sara hidup ketika ini.

Jubaidah Tarmidi

“Alhamdulillah bersyukur sangat bila ada mesin layan diri ini di sini. Makcik tinggal seorang diri jadi sukar keluar untuk beli barang sendiri kerana tiada kenderaan.

“Sekarang makcik boleh beli barangan keperluan bila-bila masa dengan hanya imbas kod QR pada mesin dan bayar guna wang dikreditkan dalam akaun e-dompet.

“Walaupun belum dapat sesuaikan diri untuk guna mesin namun ia mudahkan makcik dapatkan barang keperluan tanpa perlu ke Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Utama untuk ambil bantuan makanan,” katanya.

P Devishri

Beliau ditemui pada majlis pelancaran mesin layan diri bantuan makanan bagi golongan B40 oleh Jamaliah Jamaluddin di Pangsapuri Kayu Ara, Bandar Utama di sini semalam.

Suri rumah, P Devishri, 28, berpendapat penyediaan mesin layan diri itu memudahkan golongan sasar mendapatkan bantuan.

“Usaha ini wajar dipuji kerana tak semua orang ada masa untuk datang ke Pusat Khidmat DUN untuk ambil bantuan kerana ada yang bekerja.

“Bila sediakan mesin layan diri ia mudahkan golongan sasar dapatkan bantuan kerana mesin beroperasi 24 jam jadi mereka ada akses beli barang pada bila-bila tanpa berdepan kekangan waktu kerana biasanya Pusat Khidmat DUN hanya beroperasi pada waktu pejabat.

“Jika bekerja bagaimana nak datang ambil bantuan, jadi dengan adanya mesin ini ia mudahkan urusan semua khususnya mereka yang tiada kenderaan,” katanya.


Pengarang :