EXCO Perdagangan dan Perindustrian Dato’ Teng Chang Khim (kiri) bercakap ketika sidang media Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2023 di Hotel Sheraton, Petaling Jaya pada 27 Mac 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Daftar awal sertai sidang niaga Selangor, dapat diskaun 30 peratus

PETALING JAYA, 28 MAC: Diskaun sehingga 30 peratus menanti pempamer yang mendaftar awal bagi menyertai Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2023.

Menurut EXCO pelaburan, tawaran khas sebelum 31 Mac terbuka kepada pempamer Ekspo Antarabangsa Selangor (Makanan dan Minuman), Ekspo Antarabangsa Selangor (Perubatan) serta Ekspo Taman Perindustrian Selangor.

“Bagi pempamer yang ingin terlibat dalam SIBS kali ini, mereka boleh hubungi urusetia Invest Selangor untuk menikmati diskaun tersebut.

“Kadar harga reruai berkeluasan 3×3 meter bagi acara Ekspo Makanan dan Minuman serta Perubatan ialah RM6,160 manakala Ekspo Taman Perindustrian (RM6,860),” kata Dato’ Teng Chang Khim.

Beliau bercakap sempena pelancaran SIBS 2023 dan iftar bersama media di Hotel Sheraton di sini semalam. Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Berhad Dato’ Hasan Azhari Idris.

Dalam pada itu, Chang Khim berkata sidang niaga terbesar di Asia medium terbaik untuk mengetengah jenama dan perkhidmatan kepada pengunjung daripada pelbagai industri serta negara.

“Dengan mengambil bahagian dalam SIBS, kita harap pempamer dapat pendedahan yang diperlukan selain berpotensi menarik pelanggan baharu sekali gus membawa pertumbuhan perniagaan,” katanya.

Bertemakan Selangor Pintu Gerbang Asia, SIBS yang dijadual pada 19 hingga 22 Oktobee di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur menyediakan 1,050 reruai di lapan dewan ekspo dan dua dewan persidangan.

Enam acara utama ditampilkan merangkumi Ekspo Antarabangsa Selangor (Makanan dan Minuman), Ekspo Antarabangsa Selangor (Perubatan) serta Ekspo Taman Perindustrian Selangor.

Turut diketengahkan Ekspo Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor Ekspo Penyelidikan dan Pembangunan serta Inovasi Selangor dan Persidangan Perniagaan Asia.

Tiga acara baharu dijalankan serentak iaitu Festival Kulinari Antarabangsa Selangor, Persidangan Penjagaan Kesihatan Antarabangsa Selangor dan Kejohanan Golf Jemputan Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa 2023.

SIBS yang dianjur sejak 2015 disertai 400 pempamer diikuti 525 pada 2016, 691 (2017), 548 (2018) dan 787 (2019).

Pada 2020, acara itu dibuat secara dalam talian susulan Covid-19 membabitkan 286 pempamer dan dilakukan secara hibrid pada 2021 meliputi 494 pempamer secara fizikal dan 623 (dalam talian) manakala 906 pempamer tahun lalu.


Pengarang :