EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim (tengah) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Dato’ Hasan Azhari Idris (kiri) dan Pengarah kanan Pejabat Koordinasi Industri Angkasa Selangor Darul Ehsan (S-DAICO), Jamie Haniff Ramlee bergambar selepas sidang media Pameran Udara Selangor 2023 di Bangunan Pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor pada 21 Mac 2023.Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Diskaun sehingga 10 peratus syarikat sertai Pameran Udara Selangor

SHAH ALAM, 22 MAC: Syarikat yang berminat menyertai Pameran Udara Selangor (SAS) 2023 pada September depan bakal menerima potongan harga sehingga 10 peratus, kata EXCO pelaburan.

Dato’ Teng Chang Khim berkata tawaran sebanyak lima peratus kepada syarikat yang mendaftar sebelum 31 Mei manakala 10 peratus ditawar kepada pihak yang pernah menyertai edisi sebelum ini.

“Tawaran ini dibuka kepada semua syarikat termasuk dari luar negara. Inisiatif ini akan menggalakkan lebih banyak syarikat terlibat.

“Berdasarkan penganjuran sebelum ini, banyak syarikat melahirkan rasa kagum dengan SAS kerana ini satu-satunya pameran aeroangkasa yang ada di rantau ini,” katanya pada sidang media SAS 2023 di sini semalam.

Chang Khim berkata penganjuran kali ketiga yang dijadual berlangsung pada 7 hingga 9 September di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark (Skypark RAC), Subang menyasarkan potensi pelaburan sebanyak RM2 bilion.

Bertemakan ‘Satu-satunya Pertunjukan dan Perniagaan Penerbangan di Rantau ini’, pameran tiga hari berkenaan turut mempamer 40 pesawat pelbagai bentuk dan jenis selain beberapa program lain termasuk pendidikan.

Bermula 2021, Kerajaan Negeri menganjurkan SAS bagi mengalakkan pertumbuhan sektor aeroangkasa selain menyediakan platform kepada syarikat tempatan serta usahawan industri kecil dan sederhana meneroka bidang itu.

Usaha menerusi pelaksanaan Pelan Tindakan Aeroangkasa yang dikendalikan Pejabat Koordinasi Industri Angkasa Selangor Darul Ehsan (S-DAICO) itu juga seiring dengan sasaran negeri sebagai pemain utama aeroangkasa menjelang 2030.

Penganjuran tahun lalu yang berlangsung 8 hingga 10 September mencatat potensi nilai transaksi sebanyak RM1.174 bilion manakala SAS 2021 yang julung kali diadakan merekodkan RM100 juta.

 


Pengarang :