Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap pada majlis pecah tanah Taman Industri Pintar NCT di Movenpick Convention Centre, Sepang pada 7 April 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Tujuh insentif dilulus untuk pemaju bangunkan taman industri terurus

SEPANG, 7 APRIL: Selangor meluluskan tujuh insentif untuk pembangunan taman perindustrian terurus (MIP) bagi menggalakkan pemaju dan pemilik hartanah membangunkan kawasan mereka.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata galakan yang diputuskan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) termasuk premium tanah dan bayaran ansuran caj pemajuan tanpa faedah.

“Kerajaan Negeri tidak berdiam diri sebagai pentadbir. Walaupun tidak mempunyai keseluruhan tanah tetapi kita bangunkan dengan mewujudkan pelbagai insentif yang diluluskan MMKN.

“Ada tujuh insentif termasuk bayaran premium yang boleh ditangguh tanpa caj lewat. Kita juga berikan ansuran caj pemajuan tanpa faedah selagi tidak diisi sesuatu bangunan itu,” katanya.

Beliau berucap pada majlis pecah tanah Taman Industri Pintar NCT (NSIP), projek pertama diluluskan bawah Wilayah Pembangunan Bersepadu Selangor Selatan (IDRISS) di sini hari ini.

Amirudin turut berharap insentif tersebut membantu menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara selain menjadikan Selangor berdaya tahan dan mewujudkan masyarakat harmoni.

Pada 15 Mac, beliau mengumumkan insentif berkenaan yang turut meliputi pengecualian penyediaan kilang kos rendah dan kuota pemilikan hartanah bagi warganegara atau syarikat asing penduduk tetap.

Turut terangkum ialah pajakan jangka panjang pembangunan bukan strata selain cukai tanah dan tafsiran.

 


Pengarang :