Bekas Mufti Besar Mesir Syeikh Dr Ali Jum’ah menyampaikan syarahan Daurah Afkar Ihya Ulumuddin karya Imam al-Ghazali ketika Festival Turath Islami Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 21 Mei 2023 . Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kitab Ihya’ Ulumuddin perinci kelebihan zakat, puasa

SHAH ALAM, 21 MEI: Imam al-Ghazali menerangkan kepentingan menunaikan zakat dan berpuasa dalam kitab Ihya’ Ulumuddin supaya umat Islam menunaikan rukun agama itu dengan sebaiknya.

Mengupas bab kelima kitab itu, bekas Mufti Besar Mesir Syeikh Dr Ali Jum’ah berkata zakat merupakan sebahagian rukun Islam yang memberi manfaat kepada orang lain.

“Ibadat zakat ini berbeza dengan solat. Solat memanfaat khusus orang yang melaksanakannya berbanding zakat sampai kepada orang lain dan memberi manfaat kepada masyarakat serta manusia seluruhnya.

“Kewajipan orang muslim dan waktu wajib ialah selepas terbenam matahari akhir Ramadan. Sebaiknya zakat sampai kepada fakir miskin sebelum atau pada hari raya kerana matlamatnya menghilangkan kerunsingan dan beri kegembiraan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada syarahan Daurah Afkar Ihya’ Ulumuddin karya Imam al-Ghazali di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Datin Seri Masdiana Muhamad (tengah) turut hadir mendengar Daurah Afkar Ihya Ulumuddin karya Imam al-Ghazali disampaikan oleh bekas Mufti Besar Mesir, Prof Dr Ali Jum’ah ketika Festival Turath Islami Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 21 Mei 2023 . Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Kupasan tokoh ulama antarabangsa itu diterjemah dari bahasa Arab ke bahasa Melayu oleh Ustaz Noorazam Bahador dan Ustaz Faiz Fateh.

Berkenaan berpuasa, Syeikh Dr Ali Jum’ah menjelaskan kitab Ihya’ Ulumuddin ada menyebut bahawa ibadah itu merupakan salah satu jalan menuju kepada Allah SWT.

“Apabila berpuasa, sikitnya berbicara, sikitnya bersama manusia dan sikitnya tidur. Orang berbuka puasa tanpa keuzuran tidak cukup menampung kekurangan walaupun berpuasa sepanjang tahun.

“Nabi Muhammad SAW juga berpuasa sunat Isnin, Khamis serta Sabtu dan Ahad serta jika dihimpunkan, Nabi berpuasa enam bulan,” katanya.

Program sempena Festival Turath Islami Selangor yang dianjurkan Kerajaan Negeri bertujuan mengangkat perbincangan dan penghayatan mengenai kitab Ihya’ Ulumuddin karya Imam al-Ghazali.

Festival hari ini yang dianjur sehingga 25 Mei turut dihadiri isteri Dato’ Menteri Besar, Datin Seri Masdiana Muhamad.

Menampilkan beberapa tokoh ulama antarabangsa seperti Dr Ali Jum’ah, majlis dengan kerjasama Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE), menyasarkan penyertaan 2,500 warga Selangor dan rakyat Malaysia.


Pengarang :