Pendaki orang kurang upaya (OKU) Malaysia Everest 2023 Muhammad Hawari Hashim dikhuatiri hilang di kawasan pergunungan Everest ketika turun dari Kem 4 selepas menawan puncak gunung tertinggi di dunia itu pada 18 Mei 2023. Foto Bernama
AGENDANASIONAL

Keluarga pendaki mohon doa rakyat Malaysia supaya ditemui selamat

KEPALA BATAS, 21 MEI: Keluarga peserta Malaysia Everest 2023 (ME2023), yang juga orang kurang upaya (OKU) cacat pendengaran, Muhammad Hawari Hashim yang dilaporkan hilang Jumaat lalu memohon seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama berdoa agar beliau ditemui selamat.

Ibunya Che Tom Hassan, 64, berkata mereka sekeluarga juga tidak mendapat sebarang berita atau perkhabaran daripada Muhammad Hawari, 33, yang merupakan anak ketiga daripada lima beradik itu.

“Kami sekeluarga mengetahui mengenai kehilangan Warie (nama panggilan) melalui media sosial pagi semalam dan saya ada cuba menghubungi pasukannya untuk mendapatkan maklumat terbaru mengenainya namun gagal.

“Kali terakhir saya dapat berhubung dengan dia masa Warie berada di kem dua, dia minta kami semua berdoa dan buat bacaan Yasin supaya dapat naik puncak Everest dan dalam masa Warie pesan jangan risaukan dia.. dia ok dan selamat.

“Selepas tu Khamis lepas, kami dapat maklumat Warie berjaya naik ke puncak Everest dan itu berita yang menggembirakan kami sekeluarga sebelum pagi semalam dapat tahu dia hilang, kami mohon doa semua rakyat Malaysia agar Warie ditemui selamat,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Permatang Kerai Besar, di sini hari ini.

Che Tom berkata walaupun terkejut dengan berita kehilangan anaknya itu, namun mereka sekeluarga termasuk isteri dan dua anak Muhammad Hawari kekal positif, beliau akan kembali ke pangkuan keluarga dengan selamat.

Katanya mereka sekeluarga juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang mengadakan solat hajat dan bacaan Yasin bagi memohon keselamatan serta kesejahteraan untuk Muhammad Hawari.

“Sejak di sekolah rendah lagi, Warie memang bercita-cita naik ke puncak gunung Everest dan dia sebenarnya seorang yang sentiasa bersemangat, berkeyakinan dan aktif…dulu di sekolah semua sukan dan pertandingan dia sertai,” katanya yang beberapa kali menahan tangis.

Beliau berharap pihak berkaitan juga dapat menyalurkan perkembangan atau maklumat mengenai pencarian Muhammad Hawari di sana, supaya keluarga menerima berita yang jelas.

“Sehingga hari ini, kami tak dapat kesan atau mendapat berita mengenai Warie, sebagai ibu memang sedih tapi dalam masa sama makcik perlu kuat dan sentiasa berdoa agar anak ditemui selamat dalam masa terdekat ini,” katanya.

Sementara itu, Jabatan Seni Budaya dan Sukan (DACS) Dewan Pemuda PAS akan mengadakan solat hajat malam ini memohon keselamatan Muhammad Hawari yang dilaporkan hilang selepas misi menawan puncak tertinggi dunia itu, kelmarin.

Unit Penerangan dan Media Baharu DACS dalam muat naik di Facebook hari ini berkata solat hajat akan diadakan di Masjid Kampung Banggol, Pokok Sena di sini, selepas solat isyak malam ini dan orang ramai dijemput menyertainya.

Muhammad Hawari yang merupakan anak jati Permatang Kerai Besar itu memulakan perjalanan ke Nepal bermula 1 April sehingga 11 Jun dalam misi menawan puncak Everest.

Muhammad Hawari dipercayai turun dan berehat di kem empat selepas berjaya menawan puncak Everest pada ketinggian 8,848 meter dari paras laut dan berita kehilangannya sudah dilapor media tempatan Nepal.

– BERNAMA


Pengarang :