Gelanggang sepak takraw siap dibina menerusi Projek Selangor Penyayang di Blok 28, Persiaran Lembah Hijau, Bandar Tasik Puteri, Kuang pada 14 Julai 2023. Foto Penyelaras DUN Kuang
ADNSELANGOR

Dana RM100,000 sedia kemudahan gelanggang sepak takraw, futsal

Oleh Azian Aziz

SELAYANG, 15 JULAI: Dua gelanggang sukan iaitu sepak takraw dan futsal bernilai RM100,000 siap dibina serta dinaik taraf di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuang tahun ini.

Penyelarasnya Salasiah Disa berkata lokasi gelanggang sepak takraw ialah di Blok 28, Persiaran Lembah Hijau manakala gelanggang futsal di Pangsapuri Maplewood, Bandar Tasik Puteri.

“Gelanggang sepak takraw siap dibina semalam dengan kos RM50,000 sementara gelanggang futsal siap dinaik taraf dengan kos sama pada 8 Julai lalu.

“Kos pembinaan dan naik taraf dua gelanggang tersebut menggunakan peruntukan Projek Selangor Penyayang,” kata beliau ketika ditemui di Jualan Ehsan Rahmah (JER) Kampung Baru Kundang, Kuang hari ini.

Gelanggang futsal siap dinaik tarafmenerusi Projek Selangor Penyayang di Pangsapuri Maplewood Bandar Tasik Puteri, Kuang pada 8 Julai 2023. Foto Penyelaras DUN Kuang

Menurut Salasiah kedua-dua projek tersebut yang diluluskan sebelum pembubaran DUN memberi manfaat kepada lebih 3,000 penduduk di lokasi terlibat dan sekitarnya.

Menerusi Belanjawan 2023 Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan RM28 juta diperuntuk di bawah inisiatif projek Selangor Penyayang sebagai usaha mempergiat dan merancakkan ekonomi setempat dengan penyediaan projek kecil demi manfaat rakyat.

Keutamaan bagi pelaksanaan projek itu akan diberikan kepada projek penyelenggaraan dan menaik taraf infrastruktur serta pembangunan kemudahan awam kerajaan termasuk yang tidak mempunyai peruntukan penyelenggaraan tahunan.


Pengarang :