Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap ketika persidangan Meja Bulat Asia Pasifik ke-36 (APR) anjuran The Institute of Strategic and International Studies (ISI) di Hilton Kuala Lumpur pada 10 Ogos 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Ekonomi Madani lonjak daya saing negara, jamin kualiti hidup lebih baik

KUALA LUMPUR, 10 OGOS: Ekonomi Madani yang dirangka Kerajaan Perpaduan membantu rakyat menikmati kualiti kehidupan lebih baik di sebalik ketidaktentuan inflasi seluruh dunia.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata penyusunan semula ekonomi bawah kerangka itu berupaya menjadikan ekonomi Malaysia terkemuka di Asia selain mengangkat martabat negara.

“Ramai terpaksa berdepan ketidaktentuan kos makanan, rantaian bekalan dan komoditi yang berpunca daripada wabak. Ini adalah tamparan berganda dan kerajaan dengan pantas menutup jurang ini.

“Kita menjalankan usaha mengawal kos sara hidup selain menyediakan alternatif untuk kestabilan rakyat. Maka ekonomi Madani dilancarkan bagi meningkatkan ekonomi dan membantu rakyat mendepani cabaran tersebut,” katanya.

Beliau berucap pada majlis perasmian persidangan Meja Bulat Asia Pasifik ke-36 (APR) anjuran The Institute of Strategic and International Studies (ISI) di Hilton Kuala Lumpur hari ini.

Anwar berkata kerajaan tidak boleh meneruskan amalan lama bagi memperkukuh ekonomi negara kerana bimbang Malaysia hilang tarikan serantau dan daya saing.

“Dengan keadaan negara, serantau dan global ketika ini, Malaysia berazam untuk berusaha ke hadapan menjadi sebuah negara yang lebih saksama, bertanggungjawab serta mampan,” katanya.

Bertemakan ‘An Age of Strategic Uncertainty’, program meja bulat menghimpunkan tokoh pemikir dan sarjana bagi menangani beberapa isu penting yang memberi kesan terhadap rantau Asia Pasifik termasuk bilateral, ekonomi serta perdagangan.

Antara penceramah Pengarah Eksekutif Asia Society Australia Richard Maude, Pengasa dan Presiden Pusat China dan Globalisasi (CCG) Dr Wang Huiyao serta Pengarah Undang-undang, Korporat dan Hal Ehwal Kerajaan, Microsoft SEA dan Pasaran Baru Dr Jasmine Begum.


Pengarang :