Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Ts Dr Norazah Abd Rahman (tengah) bersama wakil industri selepas majlis menandatangani memorandum perjanjian (MoA) bersama industri pada majlis penutup Program Biz Sportlight 2023 pada 7 September 2023. Turut hadir Pengarah Bitcom, Prof Madya Dr Ahmad Sabirin Zoolfakar (tiga, kiri). Foto BERNAMA
SELANGOR

UiTM teroka peluang kolaborasi bersama industri menerusi Biz.spotlight

SHAH ALAM, 7 SEPT: Program Biz.spotlight 2023 anjuran Universiti Teknologi MARA (UiTM) menjadi platform kepada industri untuk menerokai potensi inovasi dan produk hasil penyelidikan universiti itu yang berpotensi untuk dikomersialkan.

Pengarah Pusat Inovasi Perniagaan dan Pengkomersialan Teknologi (BITCOM) UiTM Profesor Madya Dr Sabirin Zoolfakar berkata program yang mempamerkan hasil penyelidikan dalam pelbagai bidang di universiti itu juga bertujuan meningkatkan kualiti hidup masyarakat serta memenuhi keperluan negara.

Beliau berkata program itu, yang julung kali diadakan di bawah pejabat Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi (TNCPI) selama dua hari bermula semalam, adalah bagi memartabatkan hasil penyelidikan serta inovasi UiTM ke arah menjadi universiti yang dikenali dunia (GRU2025).

Sabirin berkata menerusi program itu, sebanyak 10 produk telah dipilih untuk dipamer serta dinilai potensi pengkomersialan oleh panel industri yang dilantik daripada Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) dan Cradle Fund Sdn Bhd.

“Program ini kita mula laksanakan pada Ogos lepas dengan ratusan penyelidik UiTM telah disaring hasil kajian dan inovasi mereka oleh MTDC dengan 10 yang terbaik telah dipilih di peringkat akhir untuk dipersembah kepada Cradle Fund bagi mendapat geran dana untuk tujuan pengkomersialan.

“Program ini juga menjadi platform untuk UiTM tawarkan kepakaran dalam penyelidikan bagi penghasilan produk bersesuaian. Pihak industri ada idea bagi penghasilan produk tapi mungkin tiada kepakaran, jadi kita boleh jumpa dan padankan kedua-duanya untuk dapatkan satu titik persamaan,” katanya kepada pemberita selepas penutup program itu hari ini.

Beliau berkata selain sesi picing 10 produk inovatif, program itu turut menyaksikan pelbagai demonstrasi hasil penyelidikan dari seluruh cawangan UiTM untuk memberi peluang kepada orang ramai memahami kepakaran dan inovasi yang dihasilkan oleh pakar akademik.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Profesor Dr Norazah Abd Rahman pula berkata penganjuran Biz.sportlight 2023 membuktikan kerjasama UiTM dan rakan industri terbentuk dengan baik serta perlu dilestarikan demi menyokong kelangsungan penerokaan ilmu dan penemuan baharu di institusi pengajian tinggi.

“Hasil penyelidikan dan inovasi yang dipamerkan di sini hari ini mencerminkan usaha gigih penyelidik UiTM merangkumi pelbagai bidang yang merentasi Kerangka Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi Malaysia (MySTIE).

“Produk-Produk ini tidak hanya memberi manfaat kepada masyarakat tetapi juga sejajar dengan keperluan Malaysia… saya melihat bagaimana UiTM berperanan sebagai sebuah universiti atau gedung ilmu bagi penghasilan ilmu pengetahuan serta inovasi yang bermanfaat kepada masyarakat.

Beliau juga berharap penganjuran program itu dapat diteruskan pada tahun depan dengan skala lebih besar untuk disertai oleh lebih ramai penyelidik dari UiTM mahupun luar.

– BERNAMA


Pengarang :