EXCO Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin ketika ditemui di pejabatnya di Bangunan Sultan Abdul Aziz, Shah Alam pada 6 November 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

EXCO: Tingkat kempen kesedaran kesihatan mental, peka perubahan tingkah laku

SHAH ALAM, 7 NOV: Kerajaan Negeri meningkatkan kempen kesedaran mengenai kesihatan mental terutama dalam kalangan penduduk berumur 20 hingga 40 tahun.

EXCO Kesihatan Jamaliah Jamaluddin berkata isu tersebut tidak boleh dipandang ringan dan negeri ini menyediakan ekosistem lengkap bagi mereka yang memerlukan bantuan menerusi program Selangor Mental Sihat (Sehat).

“Golongan umur 20 hingga 40 tahun berdepan dengan pelbagai cabaran hidup termasuklah tekanan kewangan, kerjaya dan keluarga. Oleh itu, pelbagai inisiatif diambil seperti kempen pencegahan dan kesedaran.

“Pencegahan di peringkat awal amat penting. Sebab itu kita menyediakan program Sehat yang dijalankan secara percuma,” katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya di Bangunan Sultan Abdul Aziz di sini.

Beliau berkata individu yang mengalami tekanan, kegelisahan dan kemurungan dinasihat meluahkan masalah mereka kepada kaunselor profesional.

“Jangan kita rasa malu apabila berdepan dengan masalah kesihatan mental kerana ia boleh terjadi pada semua peringkat umur. Manakala peranan kita pula ialah peka dengan perubahan tingkah laku individu sekeliling kita.

“Saya berharap masyarakat boleh menerima pesakit kesihatan mental ini sama seperti mereka yang mengalami kesihatan fizikal. Golongan ini memerlukan dorongan dan perhatian selain fahaman positif daripada semua pihak,” katanya.


Pengarang :