Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah diberi penghormatan menyampaikan titah ucaptama pembukaan Persidangan Belia Asean 2023 di Jakarta, Indonesia pada 3 November 2023. Foto Facebook Selangor Royal Office
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Raja Muda beri ucaptama sidang belia Asean, sentuh pelbagai isu serantau

SHAH ALAM, 4 NOV: Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor diberi penghormatan menyampaikan titah ucaptama pembukaan Persidangan Belia Asean 2023 di Jakarta, Indonesia, semalam.

Menurut kenyataan Selangor Royal Office di Facebook, Tengku Amir Shah menerusi ucaptama bertajuk ‘Mencipta Perubahan yang Mampan untuk Rantau Asean’ berkenan menyentuh pelbagai isu serantau antaranya penglibatan belia dalam pembangunan ekonomi dan peranan belia sebagai pemimpin.

“Titah Baginda, untuk benar-benar mencungkil potensi belia di rantau ASEAN, kita mesti berusaha untuk mewujudkan ruang dan platform kepada belia untuk terlibat secara aktif dalam penggubalan polisi dan pelaksanaan.

“Suara belia perlu didengar dan aspirasi mereka diterjemahkan kepada tindakan nyata. Hal ini akan menggalakkan kewarganegaraan aktif di mana golongan muda bukan sahaja menjadi penerima manfaat, malah terlibat secara aktif dalam melakukan perubahan positif,” menurut kenyataan itu.

DYTM Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah (tengah) diiringi EXCO Belia Najwan Halimi (lima, kanan) pada pembukaan Persidangan Belia Asean 2023 di Jakarta, Indonesia pada 3 November 2023. Foto X Najwan Halimi

Keberangkatan Baginda diiringi oleh Orang-Orang Besar Istana iaitu Tengku Musahiddin Shah, Tengku Saifan Rafhan Putra dan Tengku Ezrique Ezzuddean selain turut disertai EXCO Belia Mohd Najwan Halimi.

Delegasi Kerajaan Negeri turut disertai Pengarah Eksekutif MSN Selangor Mohd Nizam Marjugi, Timbalan Presiden Majlis Belia Selangor Mohd Hidayat Mohd Sauffi dan Ketua Pegawai Eksekutif Selangor Youth Nurul Azwa Rodzi.

Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan melakukan kunjungan hormat di Ibu Pejabat Asean Sekretariat sempena Persidangan Belia Asean 2023 di Jakarta, Indonesia pada 3 November 2023. Foto Facebook Selangor Royal Office

Baginda turut berkesempatan melakukan kunjungan hormat di Ibu Pejabat Asean Sekretariat dan bertemu dengan delegasi antarabangsa antaranya Timbalan Setiausaha Agung Asean (Hal Ehwal Komuniti dan Korporat) Tran Duc Binh, Pengarah Eksekutif Asean Foundation Dr. Piti Srisangnam dan Wakil Tetap Malaysia ke Asean Dato’ Nur Izzah Wong Mee Choo.

Persidangan tahunan yang dihadiri 150 delegasi belia dari 15 negara termasuk Malaysia, Indonesia, Thailand dan Brunei bertujuan memberi platform kepada anak muda untuk mengutarakan pendapat dan idea berkenaan isu semasa di rantau Asia Tenggara dan dunia seperti isu ekonomi, pendidikan, politik, keamanan, kebudayaan dan kebajikan.


Pengarang :