SHAH ALAM, 20 MAC: Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah Selangor) meletak sasaran untuk memberi pinjaman RM1 bilion kepada usahawan sempena sambutan ulang tahun kesembilan agensi itu pada tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Hijrah Selangor Dato’ Mearia Hamzah menjelaskan 88,653 pembiayaan diberi kepada 59,508 peminjam membabitkan keseluruhan berjumlah RM797 juta sejak 2015.
“Untuk tahun ini, kita sasar RM1 bilion dengan peruntukan sedia ada sebanyak RM60 juta yang disediakan kepada Hijrah Selangor,” katanya di bangunan pentadbiran negeri hari ini.
Terdahulu, beliau menandatangani memorandum persefahaman dengan Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kaunseling & Pengurusan Kredit Azaddin Ngah Tasir sambil disaksikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Saipolyazan Mat Yusop dan EXCO Pemberdayaan Usahawan Najwan Halimi.
Mearia menambah Hijrah Selangor juga mahu mengadakan pelbagai inisatif menerusi ‘Business Turn Around Plan’ (BTP 2024–2028) bagi meningkatkan operasi lagi agensi berkenaan.
Katanya, pelan itu mengandungi empat perkara iaitu pertumbuhan dan pembangunan usahawan, kecemerlangan kewangan, kualiti aset terbaik dan prestasi kakitangan serta tadbir urus baik.
“Salah satu kaedah adalah memberi tumpuan kepada kutipan balik. Ia dilaksanakan dengan pelbagai cara iaitu menerusi cawangan pejabat dan agensi kutipan swasta,” katanya.