Jabatan Kastam Diraja Malaysia
AGENDAJENAYAH

1,856 cubaan menyeludup digagalkan, RM350 juta nilai barangan disita

PUTRAJAYA, 30 APRIL: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya mematahkan 1,856 cubaan penyeludupan melibatkan pelbagai barangan membabitkan nilai cukai RM350 juta setakat Mac lalu, kata Penolong Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan) Ribuan Abdullah.

Ribuan berkata jumlah itu mencatatkan peningkatan 182 peratus berbanding RM124 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

“Aktiviti penyeludupan kenderaan mencatatkan nilai rampasan tertinggi iaitu RM27.8 juta diikuti rokok (RM10.7 juta), dadah (RM29.6 juta), minuman keras (RM8.9 juta) dan tekstil (RM3.9 juta),” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Menurutnya antara kenderaan yang disita ialah Toyota Alphard, Toyota Vellfire, Mercedes dan motosikal Yamaha RXZ yang sudah dibaik pulih.

Untuk tempoh sama, beliau berkata pihaknya turut menyita barangan bersubsidi yang cuba diseludup ke negara jiran bernilai RM323,365.

“Minyak masak, petrol dan diesel merupakan barangan subsidi yang cuba diseludup dan kita telah sita barangan ini,” katanya.

Beliau berkata Sabah mencatatkan kes penyeludupan tertinggi iaitu 330 kes diikuti Kelantan (266), Sarawak (231), Johor (191) dan Selangor 151 kes.

Bagi meningkatkan tahap keselamatan di lapan lapangan terbang di seluruh negara, Ribuan berkata JKDM akan menempatkan 40 unit mesin pengimbas bagasi yang dilengkapi teknologi Kecerdasan Buatan (AI) selewat-lewatnya Mei ini.

“Bila ada mesin pengimbas berteknologi AI, ia bantu kita kenal pasti barangan dengan lebih jelas, contohnya barang apa yang ada dalam kontena. Analisa imej daripada mesin ini lebih spesifik,” katanya menambah melalui penggunaan mesin pengimbas, pihaknya berjaya membanteras penyeludupan dadah seberat 586 kilogram, setakat semalam.

Beliau berkata pihaknya juga sedang dalam perancangan membuat perolehan mesin pengimbas kargo yang dilengkapi sistem ‘drive through multi-view dual energy’ berteknologi tinggi bagi mengekang aktiviti penyeludupan di pintu masuk dan keluar negara terutama di Pelabuhan Klang.

“Kami (JKDM) sentiasa berusaha memastikan aktiviti penyeludupan dapat dibendung dengan penguatkuasaan undang-undang dan penggunaan teknologi terkini. Ini selaras dengan visi kami iaitu memelihara ekonomi dan mengawal sempadan ke arah negara progresif,” katanya.


Pengarang :