Pengerusi HARAPAN Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) bergambar bersama calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu Pang Sock Tao pada majlis pengumuman calon di Pusat Khidmat DUN Kuala Kubu Bharu pada 24 Februari 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Calon Kerajaan Perpaduan berkaliber, mampu teruskan legasi Kee Hiong

SHAH ALAM, 30 APRIL: Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kuala Kubu Baharu (KKB) merupakan wanita muda berkaliber yang mampu membangunkan kawasan berkenaan.

Dato’ Menteri Besar turut menyifatkan Pang Sock Tao sebagai individu yang layak dan berkebolehan menjaga kebajikan rakyat dengan meneruskan skim Iltizam Selangor Penyayang.

Justeru, Dato’ Seri Amirudin Shari mengajak pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan untuk memberi sokongan kepada calon terbabit pada hari pengundian 11 Mei ini.

“Jangan ragu-ragu berikan sokongan kepada wakil HARAPAN di KKB. Sock Tao seorang anak muda yang penuh bertenaga dan berani, yang cocok meneruskan legasi mendiang Lee Kee Hiong bagi membangunkan KKB,” katanya menerusi video dimuat naik di Facebook.

PRK DUN KKB diadakan susulan kematian Kee Hiong, 58, akibat barah pada 21 Mac lalu.

Pang Sock Tao, 31, diumum calon Pakatan Harapan (HARAPAN) bagi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

Menyaksikan pertandingan empat penjuru, Sock Tao, 31, dicabar Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Hafizah Zainudin Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan Nyau Ke Xin (Bebas).

DUN tersebut memiliki 40,226 pengundi terdiri daripada 39,362 pengundi biasa, 625 anggota polis, 238 anggota tentera dan pasangan serta seorang tidak hadir luar negara.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRK KKB pada 11 Mei, hari pengundian awal 7 Mei dengan tempoh berkempen 14 hari.


Pengarang :